BMW iX xDrive50 - bakal mendarat di Amerika, harga dari RM343 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira dua bulan sebelum tirai 2020 dilabuhkan, BMW telah memperlihatkan secara rasmi model SAV terbaharu berkuasa elektrik yang dinamakan sebagai BMW iX 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dan untuk pasaran Amerika Syarikat, EV ini bakal hadir dalam varian iX xDrive50 dengan konfigurasi motor elektrik berkembar, satu untuk setiap gandar.

Motor elektrik hadapan berupaya menjana 268 hp/352 Nm sementara motor elektrik belakang pula mampu menghasilkan 335 hp/400 Nm, di mana angka output keseluruhan adalah sekitar 516 kuasa kuda dan 764 Nm.

 


Dari segi pecutan, BMW iX xDrive50 mampu mencapai masa 4.6 saat daripada pegun ke 100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 200 km/j.

Pek bateri berkapasiti 106.3 kWh itu pula mampu membenarkan jarak operasi sejauh 482 km untuk sekali cas.

BMW iX xDrive50 2022 ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW, di mana pek bateri boleh dicas dari kapasiti 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang 40 minit, atau tambahan jarak sejauh 145 km dalam masa 10 minit sahaja.

 


Terdapat sehingga tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Personal, Sport dan Efficient, setiap satu menawarkan tetapan yang tersendiri kepada sistem pemanduan, casis, paparan kluster instrumen, sistem pencahayaan ambien, serta runut bunyi.

Seperti contoh, mod Sport membenarkan respon stereng dan pendikit yang lebih terus, diikuti dengan penghasilan runut bunyi yang lebih jelas.

Terdapat juga mod pemanduan satu pedal yang boleh digunakan serta dibantu dengan sistem pemulihan tenaga termaju dengan tiga tahap yang berbeza mengikut keperluan dan kehendak pemandu.

 


Dari segi penampilan ruang kabin, ia ternyata membawakan dimensi baharu buat model BMW berbanding model-model yang terdahulu, di mana skrin infotainmen 12.3 inci dan skrin paparan instrumen 14.9 inci diletakkan bertenggek di atas papan pemuka.

Sistem paparan ini menggunakan operasi BMW iDrive 8 dan turut menyokong kemasan over-the-air.

Selain daripada itu, terdapat juga roda stereng berbentuk heksagon, ssitem kawalan iklim empat cara automatik, serta bumbung kaca panoramik dengan kadar ketelusan cahaya yang boleh dikawal dengan hanya satu sentuhan butang.

Sistem hiburan pula terdiri daripada audio Harman Kardon berkuasa 655 watt dengan 18 pembesar suara, manakala bagi mereka yang mahukan lebih boleh mendapatkan sistem Bowers & Wilkins berkuasa 1,615 watt dengan tidak kurang daripada 30 pembesar suara untuk dimuatkan sebagai opsyen.

 


BMW iX xDrive50 bakal didatangkan standad dengan sistem peredam yang mampu menetapkan kadar kekerasan pada penyerap bergantung kepada jarak pergerakan suspensi itu sendiri.

Menurut BMW, ciri ini mampu mengurangkan kesan 'body dive' apabila pemanduan di atas bonggol yang besar, selain mampu menawarkan keselesaan yang tersendiri ketika melalui jalan yang tidak rata.

Selain daripada itu, pembeli juga boleh mendapatkan pilihan sistem suspensi adaptif dengan penyerap hentakan yang dikawal secara elektronik, serta sistem suspensi udara dua gandar dengan penetapan kendiri automatik.
 

 
Harga jualan di Amerika Syarikat bermula dari $83,200 (RM343,325) dan bakal mendarat di sana seawal tahun hadapan.

Baca: BMW iX 2022

Baca: BMW iX bakal muncul di Malaysia?