BMW iNext versi produksi serupa dengan model konsep, dan ciri swapandu tahap ketiga

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang gemar mengadu kepada kami kenapa kereta konsep yang dipamerkan tidak sama seperti model produksi (Bezza sebagai contoh), aduan anda sebenarnya didengari oleh pihak BMW.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti mana yang anda lihat pada model konsep iNext beberapa bulan yang lalu, BMW mengesahkan versi produksi tidak akan lari jauh daripada rekaan asal yang diperlihatkan kepada umum, seperti yang dikatakan oleh ketua unit rekaan BMW, Adrian van Hooydonk kepada Top Gear. 

Menurut beliau, BMW iNext merupakan kereta visi yang memperlihatkan hampir kesemua idea yang diperoleh oleh BMW untuk direalisasikan. 
 


BMW iNext diramalkan bakal dilancarkan pada tahun 2021 dengan ciri swapandu tahap ketiga (Level 3 autonomy), dan dalam masa yang sama BMW akan menguji swapandu tahap kelima (Level 5). 

Menurut Klaus Buttner, ketua unit pemanduan autonomi BMW berkata, "kesemua kenderaan selepas iNext bakal dibangunkan menggunakan kejuruteraan platform yang serupa, dan ia membolehkan kami hadir dengan teknologi terkini pada model yang bersesuaian."

Tambah Buttner lagi, walaupun dilengkapi dengan ciri swapandu, beliau memberikan jaminan kereta tersebut akan tetap memandu seperti sebuah BMW, dan para pemilik boleh mematikan fungsi ini kerana hanya mereka sahaja yang tahu nilai pemanduan sebuah BMW.