BMW i5 dan 5 Series Touring 2025 debut di Eropah - Hasilkan sehingga 593 HP!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
BMW telah memperkenalkan hasil wagon terbaharunya iaitu BMW i5 dan 5 Series Touring 2025 untuk pasaran Eropah yang bakal dilancarkan secara rasmi Mei tahun ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi saiz berbanding generasi terdahulu, 5 Series Touring 2025 kini 97 mm lebih panjang, 32 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi, sementara jarak roda juga telah meningkat sebanyak 20 mm.

Pastinya menjadi tujuan utama bentuk badan wagon, 5 Series Touring hadir dengan ruang kargo sebanyak 570 liter, dan boleh diluaskan sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

2

 

Diteruskan pada bahagian dalaman, sama seperti model-model terkini BMW ia dilengkapi dengan paparan Curved Display yang merangkumi kluster instrumen bersaiz 12.3 inci dan skrin infotainment bersaiz 14.9 inci.

Ia turut dilengkapi sistem pengoperasian BMW Operating System 8.5 yang menyokong permainan video AirConsole, serta fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.

Pelbagai pilihan tambahan juga ditawarkan termasuk bumbung kaca panoramik dan kulit upholsteri BMW Individual Merino, pelanggan juga akan mendapat sistem audio premium Bowers & Wilkins bersama 18 pembesar suara serta BMW Interaction Bar.

 

3

 

Hadir sebagai 5 Series Touring generasi keenam, BMW akan menawarkan pilihan trenkuasa ICE (diesel dan petrol), PHEV dan juga EV.

Untuk versi EV yang dikenali sebagai i5 Touring, ianya ditawarkan dengan dua varian iaitu i5 eDrive40 Touring dan i5 M60 xDrive Touring yang lebih berkuasa.

Untuk varian i5 eDrive40 Touring, ia dilengkapi dengan motor tunggal di roda belakang yang dikuasakan pek bateri berkapasiti 81.2 kWj, membolehkan jarak gerak sehingga 560 km (WLTP).

 

4

 

Tetapan itu menghasilkan 335 HP dan 430 Nm, di mana ia mampu memecut dari 0-100 kmj dalam masa 6.1 saat sahaja.

Untuk varian i5 M60 xDrive Touring, ia dilengkapi dengan dua motor pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan sehingga 593 HP dan 820 Nm!

Bagaimanapun jarak gerak untuk versi lebih berkuasa itu berkurang kepada 506 km, di mana ia mampu memecut dari 0-100 kmj dalam 3.9 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan pada 230 kmj.

 

5

 

Dari segi pengecasan, ia dilengkapi keupayaan pengecas AC sehingga 11 kW dan 22 kW, manakala keupayaan pengecasan pantas DC menyokong sehingga 205 kW.

Untuk versi ICE pula, ia akan dikuasakan sama ada bersama sistem hibrid ringan atau PHEV, di mana 530e akan dikuasakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo bersama motor elektrik, menghasilkan gabungan 295 HP.

Versi 520d pula dikuasakan enjin 2.0 liter diesel turbo dengan sistem hibrid ringan untuk menghasilkan 195 hp, ditawarkan dengan tetapan pacuan roda belakang(RWD) atau semua roda (AWD).

 

6

 

Satu lagi varian iaitu 540d xDrive Touring dikuasakan dengan enjin V6 3.0 liter bersama sistem hibrid ringan, menghasilkan 295 hp.

Bagaimanapun, sebuah versi buas yang ditunggu-tunggu, iaitu BMW M5 Touring tidak mempunyai khabar berita mengenai kehadirannya dalam masa terdekat.