Untuk tidak menjadikan kereta elektrik mereka terlalu bosan, BMW telah bekerjasama dengan komposer terkenal, Hans Zimmer bagi menghasilkan runut bunyi khas untuk dilengkapkan pada BMW i4.
Dilancarkan dibawah jenama BMW IconicSounds Electric, ia merupakan hasil kerjasama Hans Zimmer dengan pereka bunyi BMW Renzo Vitale, dan bunyi ini bakal dilengkapkan pada kenderaan elektrik BMW pada masa akan datang.
Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan semasa, sudah tentu kenal dengan hasil kerja Hans Zimmer di dalam beberapa buah filem blockbuster seperti The Lion King, Sherlock Holmes, Interstellar, The Dark Knight.
Malah, Hans turut sama menerima anugerah berprestij di dalam Academy Awards, Grammy Awards, WAFCA, BFCA, DFWCA dan the Stephen Hawking Medal untuk filem Interstellar!
Hans Zimmer berharap dengan runut bunyi yang dihasilkan ini memberikan perasaan klasik dan mengujakan, selain mempunyai elemen yang sesuai untuk dipadankan dengan jenama BMW.
Menurut Jens Thiemer, Naib Presiden Kanan unit Jenama dan Pelanggan BMW berkata, "bunyi selalu memainkan peranan penting dalam proses melahirkan emosi dari kenderaan, dan kami ingin membawakan "joy of sheer driving pleasure" ke satu tahap yang lebih tinggi.
BMW i4 telah pun diperlihatkan secara rasmi dan bakal memasuki fasa produksi bermula tahun hadapan.
Sedan elektrik empat pintu ini didatangkan dengan 530 kuasa kuda dan bateri berkapasiti 80 kWh yang mampu memberikan jarak operasi sejauh 600 kilometer berdasarkan data WLTP.