BMW i4 eDrive40 2022 - sedan elektrik RWD yang lebih mampu milik

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada BMW i4 M50 yang lebih berkuasa itu, BMW juga tidak pernah melupakan golongan yang tetap mahukan sebuah sedan elektrik pada harga yang lebih munasabah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Untuk itu, mereka membawakan varian aras mula untuk pasaran Amerika BMW i4 eDrive40 yang bakal hadir menjelang suku pertama tahun 2022 dengan harga jualan bermula dari $55,400 (RM228,608).

 


Jika dibandingkan dengan sedan 3 Series sedia ada, BMW i4 memiliki titik graviti yang lebih rendah (2.1 inci kurang), ditambah pula dengan ciri bantuan seperti penyerap hentakan khas, suspensi udara belakang, stereng elektromekanikal dengan fungsi Servotronic, sistem kawalan kestabilan dinamik dan had gelinciran tayar.

Menurut BMW, ciri yang disebutkan itu tadi membawakan kelebihan yang ada pada sistem pacuan roda belakang kepada mobiliti elektrik BMW i4 eDrive40 itu tadi.

Tidak seperti BMW i4 M50 dengan konfigurasi motor elektrik berkembar, BMW i4 eDrive40 hanya hadir dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 335 kuasa kuda dan 416 Nm.

 


Sedan 'aras mula' ini juga turut dilengkapi sistem transmisi kelajuan tunggal, serta pek bateri berkapasiti 81.5 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 482 km (data kitaran EPA).

Dari segi pecutan, BMW i4 eDrive40 boleh mencapai masa 5.7 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 189 km/j, menjadikannya hampir sama taraf dengan model-model sedan 3 Series (5.6 saat untuk 330i atau 5.3 saat untuk varian 330i xDrive).

Sistem pengecasan pantas 200 kW pula membolehkan anda menambah jarak sejauh 145 km dalam masa 10 minit pengecasan sahaja.

Tidak cukup dengan itu, BMW juga turut bekerjasama dengan EVgo untuk akses kepada jaringan pengecasan umum yang terbesar di negara Amerika Syarikat bagi mengurangkan kesan kebimbangan jarak untuk para pemilik i4.

 


Kemasan ruang kabin BMW i4 merupakan gandingan elemen daripada kereta-kereta tradisional BMW dengan penambahan ciri yang spesifik untuk sebuah kereta elektrik.

Seperti contoh, terdapat skrin kluster 12.3 inci yang dipadankan dengan skrin 14.9 inci di dalam satu paparan tunggal melengkung, dan menampilkan ciri anti-silau yang mampu menawarkan penglihatan yang cukup terang di bawah sinar matahari.

Kedua-dua skrin itu menggunakan sistem operasi iDrive 8 yang turut menyokong sambungan Apple CarPlay, Android Auto serta kemaskini over-the-air.

 


Selain daripada itu, BMW i4 eDrive40 ini turut mendapat kelengkapan standard seperti kawalan iklim tiga zon automatik, bumbung suria jenis slide/tilt, sistem pencahayaan ambien, serta sistem audio dengan 10 pembesar suara dan amplifier 205 watt.

Sistem bunyi keliling Harman Kardon juga turut ditawarkan sebagai opsyen yang merangkumi 16 pembesar suara dan amplifier digital tujuh saluran.

Tidak dilupakan, ciri bantuan pemandu Tahap Kedua (Level 2 Autonomy) yang didatangkan standard seperti Kawalan Jelajah Aktif dengan fungsi Berhenti & Mula, Bantuan Had Laju, serta Driving Assistant Professional yang menggunakan bantuan tiga unit kamera, satu radar hadapan dan empat radar sisi.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kehadiran model sedan ini dilihat mampu memperkukuhkan lagi portfolio kenderaan elektrik BMW i di…