BMW i4 eDrive35 2023 rasmi – 281 hp, 400 Nm, jarak gerak 418 km, dua varian, dari RM255,216

oleh Mohamad Hanif|
BMW Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan model sedan elektrik BMW i4 eDrive35 untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam dua varian, iaitu varian standard i4 eDrive35 serta varian i4 eDrive35 M Sport sebagai pelengkap kepada model i4 M50 yang telah diperkenalkan pada Malaysia Autoshow 2023 awal tahun ini.

BMW i4 eDrive35 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan kuasa setinggi 286 hp dan daya kilas 400 Nm yang memacu roda belakang, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas enam saat sahaja.
 

i4


Reka bentuk badan sedan fastback membolehkan BMW i4 eDrive mencapai kadar pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.24, selain mengekalkan imej yang sporti untuk menarik perhatian golongan muda.

Pek bateri 70.2 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 418 km untuk sekali cas penuh.

BMW i4 turut menyokong pengecasan pantas DC 180 kW di mana bateri boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 32 minit sahaja, selain pengecasan AC 11 kW.
 

i4


Membezakan antara kedua varian tersebut ialah penampilan rim di mana i4 eDrive35 membawakan rim aloi ringan 18 inci 853 Bicolour, sementara varian M Sport pula mendapat rim aerodinamik 18 inci 858 M Bicolour.

Untuk ruang kabin pula, BMW i4 eDrive35 membawakan sistem infohibur BMW iDrive, skrin BMW Curved Display, roda stereng sport balutan kulit dengan trim kayu oak halus berliang terbuka, diikuti trim Aluminium Rhombicle Anthracite M untuk model M Sport.

Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan termasuklah Black Sapphire, Mineral White, Sanremo Green, Skyscraper Grey dan Aventurine Red, diikuti dua warna M Portomao Blue dan M Brooklyn Grey untuk model M Sport.
 

i4


Untuk ruang kabin, terdapat pilihan trim Sensatec Perforated Black, Sensatec Perforated Cognac dan Sensatec Perforated Tacora Red.

Harga jualan adalah seperti berikut:
BMW i4 eDrive35 – RM255,216.00
BMW i4 eDrive35 M Sport – RM281,216.00

Menerusi pelan pembiayaan ‘Straight Line’ oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pembeli boleh mendapatkan BMW i4 eDrive35 dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM3,358 atau RM3,657 untuk model M Sport (berdasarkan pinjaman 80 peratus untuk tempoh tujuh tahun).

Pemilik juga boleh menikmati pelan ansuran bulanan bagi pelan Easy Drive bertempoh lima tahun, atau kiraan batuan 100,000 untuk kadar 80 peratus margin pembiayaan, selain menikmati rebat tunai Easy Drive sebanyak RM8,000.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Varian aras mula ini sebenarnya menampilkan konfigurasi trenkuasa motor elektrik pacuan roda…