BMW G 310 GS 2018 - ngam lah!

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tahun lalu, syarikat Jerman itu melancarkan siri G 310, model dengan enjin 313 cc dan dipasang oleh TVS, sebuah syarikat pembuat motosikal yang berpangkalan di Chennai, India.

Siri G 310 ini seperti yang dijangka, mendapat sambutan hebat di negara-negara membangun kerana ia menawarkan sebuah motosikal BMW dengan harga yang lebih mesra pembeli.

G 310 datang dalam dua varian, R yang lebih kepada sebuah jentera separa fairing dan sporti, dan GS, yang merupakan sebuah Adventure Bike atau ADV.

 

Kami pernah menunggang G 310 R dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Ia umpama menunggang sebuah motosikal Asia dengan enjin berselinder tunggal dengan kapasiti 313 cc. 

Biasa, tiada apa yang menunjukan ia sebuah jentera Eropah dan halaju maksimum dalam sekitar 145 kmsj. Kerana ia berenjin kecil, halaju maksimum sebenarnya sangat bergantung kepada berat penunggang dan berat penulis ialah ehemm ... 100 kg penuh dengan otot.

Tetapi bila BMW Motorrad Malaysia melancarkan model G 310 GS, kami mula menaruh minat kerana bentuknya, dan juga kerana penulis memang sangat berminat dengan mana-mana model GS oleh BMW. 

Dan juga harganya dalam lingkungan RM30,000, sahaja.

 

 

GS ialah dari dua perkataan Jerman, Gelande Strasse (ge-land-der shtra-sir) yang bermaksud offroad (gelande) dan road (strasse). 

Dalam ertikata lain, GS ialah sebuah motosikal dual-purpose, atau DP atau nama glamournya sekarang - ADV atau adventure bike, yang mampu ditunggang dengan baik di jalanraya dan di kawasan lasak tanpa jalan berturap.

Di bawah ialah nota-nota yang penulis kongsikan selepas menunggang G 310 GS ini.
 

 

G 310 GS atau lebih dikenali dengan nama GS 310 ini nampak paling hebat dari arah belakang, kerana tayar belakang yang gemuk itu (170/70 R17) membuatkan ia kelihatan besar. 

Tayar belakang itu juga tebal, sehinggakan dari sisi nampak seolah roda dan tayar hadapan (110/80 R19) sama besar dengannya.

Secara realiti, yang benar-benar menampakkan GS 310 ini besar ialah tangki dan fairing separuh itu. Jika diamati dari belakang, enjinnya nampak sama lebar dengan tayar belakang itu sahaja.

 

 

Ia bukan sebuah motosikal yang rendah - tinggi pelana ialah 835 mm (tanpa penunggang). 

Oleh kerana ia sebuah BMW, anda boleh memilih pelana rendah - 820 mm dari bumi.

 

seat

 

Untuk yang mahu berjalan jauh, BMW juga ada pelana empuk (comfort seat) yang tebal, menjadikan jarak ke bumi dari pelana ialah 850 mm.

Berat dengan minyak ialah 169.5 kg, 11 kg lebih berat dari R 310. Kami rasa sebab utama ia lebih berat ialah fairing (cover set kata orang Malaya) dan juga tayar-tayar yang lebih besar itu.

 

 

Dari segi kelengkapan, sebuah paparan meter LCD menjadi alat interaksi utama dengan penunggang. Cuma ada satu butang yang besar di sebelah kiri - boleh diakses dengan sarung tangan. 

Mudah untuk melihat kelajuan anda, tetapi bar kelajuan enjin (RPM) ada di bawah sekali sementara bar menegak di sebelah kiri menunjukan baki bahan api.

Suis-suis pada bar hendal masih terasa berkualiti dan sedap digunakan. Butang untuk menutup ABS juga mudah diakses.

 

 

Kualiti cat dan sticker biasa-biasa sahaja, cuma penulis rasa warna putih dengan jalur GS biru memang nampak kena pada motosikal ini.

BMW mahu memastikan anda tidak terlupa ini ialah sebuah GS ataupun orang di sekeliling motosikal ini. Mungkin kerana itu, perkataan GS ditulis di merata-rata bahagian motosikal tersebut.

 

dohc

 

Selain dari logo GS, juga tertera ialah logo-logo BMW, tulisan BMW dan juga DOHC pada bahagian dalam enjin - setebang besar untuk pemilik berkata "Oh, ini BMW dengan enjin DOHC". Overkill.

Dari segi rekabentuk, memang ia sangat GS. Bila diparkir di sebelah sebuah R1200 GS tahun 2005, nampak GS 310 ini masih gah dan tidak kalah. Paruh hadapan yang menjadi tradisi GS tetap wujud, dan rak barang di belakang juga nampak gagah. 

 

 

Lampu hadapan ialah jenis tunggal, dan ini mungkin bukan ciri GS yang selalunya mempunyai dua lampu hadapan berlainan saiz.

Windscreen pada GS 310 juga kecil, tetapi tidak ada masalah semasa menunggangnya. Pastinya nanti akan ada nanti aksesori untuk cermin yang lebih tinggi.

Setelah diamati semuanya, walaupun motosikal ini berasal dari India, kualiti dan aksesori yang dipasang setaraf dengan jenama Jerman tersebut.

 

 

Enjin sejukan cecair silinder tunggal DOHC 4-injap dengan kapasiti 313 cc itu menghasilkan  34 PS pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm. Ia adalah enjij yang sama dengan G 310 R dan jika anda amati, bloknya condong ke belakang. Satu fungsi unik untuk enjin BMW ini.

Transmisi ialah sama seperti pada model R, 6-kelajuan dengan klac manual. Nisbah gear kami rasa berbeza.

 

enjin GS310

 

Menurut rakan kami di Chear Motorrad Puchong, jarak servis untuk motosikal ini ialah sekali ganda dari motosikal Jepun, iaitu pada 10,000 km. Kos servis dalam lingkungan RM300 ke RM400.

Respons pada pendikit sangat baik - sistem komputer dan suntikan bahan api membaca dengan cepat gerakan pada pendikit, tanpa sebarang kelewatan. Cuma mungkin kerana kuasa enjin yang rendah, pecutan adalah sedikit perlahan.

Namun begitu, jika dibandingkan dengan jentera-jentera 250 cc yang lain di dalam pasaran, GS 310 ini mampu memecut dengan lebih baik dan cepat sehingga kepada kelajuan maksimum 143 kmsj.

 

 

Di atas lebuhraya menuruni bukit, halaju mampu pergi lebih dari itu, tetapi mengambil masa yang sangat perlahan dan bergantung kepada berat penunggang. Ada yang berkata ia mampu mencecah 160 kmsj, dan kami yakin ia memang boleh, cuma pada ketika itu, enjin pun sudah hampir kepada red-line dan mengalami tekanan yang tinggi. 

Pendek kata, jika terasa ia tidak cukup laju untuk perjalanan harian anda, carilah motosikal berenjin lebih besar seperti Honda CB500 X.

Tetapi jika anda mahu menunggungang pada kelajuan 110 kmsj, masih ada banyak tenaga tersimpan untuk memotong atau melarikan diri sekejap dari geng kapchai mahal 150 cc. 

 

 

Brek-brek pada GS cilik ini memadai untuk tenaga dan beratnya. Brek hadapan ialah disk 300 mm tunggal dengan angkup 4-piston yang dipasang secara radial.

Di belakang, disk 240 mm dengan kaliper berpiston tunggal. 

Kedua-dua brek lengkap dengan fungsi ABS, dan ia boleh ditutup untuk tunggangan off-road.

Sistem gantungan ialah sepasang fork terbalik 41 mm tanpa laras di hadapan dan lengan ayun lengkap dengan monoshock di belakang (boleh dilaras untuk preload).

 

 

Roda hadapan dan belakang keduanya mempunyai jarak pergerakan sistem gantungan sebanyak 180 mm, cukup untuk bermain loncatan kecil di semak atau kebun.

Kami ke Masjid Tanah, Melaka bersama rakan-rakan dari kelab Versys X untuk tunggangan santai yang meliputi tunggangan di lebuhraya dan jalan persekutuan.

Nyata GS ini lebih laju dan lebih pantas dari motosikal adventure Jepun itu. Cuma posisi menunggang dan juga karektor enjin ini sedikit sporti untuk penunggang yang mahu berkelana jauh.  

Ia tidak sesantai Versys X dan yang menghairankan, bila menunggang, Versys X terasa lebih besar. Mungkin juga kerana Versys X mempunyai posisi menungang yang lebih menegak dan tinggi.

 

 

Dari segi kawalan jentera, sistem gantungan standard memadai untuk tunggangan solo. Bagi penulis yang seberat 100 kg, terasa ada sedikit ayunan di ekor ketika selekoh diambil dengan laju dan agresif. Walaupun preload sudah dikeras, tetap terasa lembut ekornya.

Bahagian hadapan tidak ada masalah walaupun ia juga lembut. Brek dan bahagian hadapan menjunam. Dan jika sistem gantungan ini lebih keras, pastinya kehebatan tayar Metzeller Tourance (varian ini direka khusus untuk GS kerana dindingnya dibuat lembut sedikit) itu boleh dirasai.

 

Brek oleh ByBre, anak syarikat Brembo yang beroperasi hanya di India, memberikan gigitan yang baik pada kelajuan urban. Di kawasan tanah, memang boleh dirasakan ABS oleh BMW itu berfungsi baik tetapi tidak selancar ABS pada abang-abangnya.

Bagi membolehkan roda belakang terkunci dan kami boleh melakukan "rear wheel slide", mod ABS dimatikan dengan satu tekan pada punat hendal sebelah kiri. Kami yakin tidak ramai pemilik yang akan menggunakannya tetapi ia ada untuk digunakan.

 

GS kecil ini nampaknya tidak berapa suka jika diajak untuk melompat halangan semasa tunggangan offroad. Mungkin ada banyak komponen plastik yang berlaga ataupun sistem gantungan yang lembut membuatkan pegas dan penyerap hentak mampat maksimum. Kesian juga bunyinya.

Bagi tunggangan atas jalan berbatu dan berpasir, memang GS 310 ini juara kerana ringan dan mudah untuk dikawal, terutama bagi penunggang baharu. 

 

Perjalanan jauh pula terhad kepada 220 km sahaja sebelum panel meter memberitahu tangki 11 liter itu perlu diisikan. Mungkin penulis berat, atau mungkin enjin masih ketat tetapi rasanya ia boleh pergi lebih jauh dari itu.

Gegaran wujud pada RPM tinggi, terutama pada kelajuan enjin di antara 7,500 ke 8,000 rpm. Enjin ini tiada masalah untuk dilenjan hingga ke red-line, iaitu pada 10,600 rpm. Pada kelajuan 95 ke 100 kmsj ,enjin berputar dengan santai pada 6,000 rpm.

 

Bunyi ekzos sangat sesuai untuk imej perpustakaan. Bila enjin dihidupkan, ia berbunyi dengan begitu perlahan, dan bila kita sedang membelasahnya di jalanraya, tak terdengar langsung bunyinya. Cuma bunyi enjin lebih kuat.

Mungkin peredam yang dibina sekali dengan catalytic converter itu perlu dibisingkan sedikit untuk menambahkan karektor kepada GS ini.

 

Aksesori nampaknya tidak begitu banyak. Tidak ada pannier dibuat untuk motosikal ini - cuma topbox belakang dan beg tangki.

Pasti ada yang mengeluh kerana mereka mahu memasang panniers bagi perjalan ribuan batu mereka. Pada pendapat kami, untuk perjalanan jauh, lebih seronok dan selesa jika kita mencari sebuah motosikal dengan enjin yang besar sedikit, seperti 500 cc atau 650 cc kerana enjin besar beroperasi dengan lebih rileks dalam perjalanan jauh. 

Sesuai untuk tunggangan urban, off-road ringan dan bagi mereka yang mahukan sebuah motosikal kedua yang kecil, GS310 ini boleh dikira sebagai tiket paling mampu untuk masuk ke dunia GS.

 

 

Artikel dan fotografi oleh Hezeri Samsuri

Model penunggang Afandi Black

Berita Berkenaan

Berita Global
Lambat laun, suka atau tidak, kita terpaksa menerima kenyataan bahawa tidak ramai yang gemar dengan…
Berita Domestik
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bersama sebuah jentera dikejarkan ke…
Berita Global
Ia berikutan dengan pelaburan sebanyak €650 juta (RM3.3 billion) untuk memperluaskan serta menaik…