BMW F 900 R, F 900 XR rasmi dilancarkan - bermula dari RM63k

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad memperkenalkan dua buah motosikal premium baharu, iaitu kembar BMW F 900 R dan BMW F 900 XR untuk memberikan saingan kepada segmen roadster dan juga kembara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi kuasa, kedua-dua F 900 R dan F 900 XR dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris dengan output mencecah 105 kuasa kuda dan 92 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 6,500 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan dengan klac basah anti-hopping dan ciri kawalan tork seretan (MSR) dan Shift Assistant Pro sebagai opsyen pilihan. 
 


Mod tunggangan standard yang didatangkan termasuklah Rain dan Road, manakala bagi mereka yang mahukan lebih kawalan, opsyen Riding Modes Pro boleh ditempah secara terus dengan menawarkan mod tambahan seperti Dynamic dan Dynamic Pro. 

BMW F 900 R dan BMW F 900 XR direka untuk menawarkan aspek tunggangan yang menyeronokkan, ditambah dengan pengendalian yang mudah untuk dikawal oleh pengguna. 

Pakej Style Sport didatangkan khusus untuk BMW F 900 R yang merangkumi pelana sporty dan penutup ruang pelana penumpang serta  warna perak metalik atau Racing Red sebagai tambahan kepada warna sedia ada, San Marino Blue. 
 


Sementara itu, BMW F 900 XR didatangkan dengan pakej Style Exclusive, warna Galvanic Gold dengan penawaran pelitup tangki dan radiator berwarna kelabu metalik. 

Antara aksesori yang turut dilengkapkan termasuklah komponen pelindung tangan dan perisai angin daripada Original BMW Motorrad Accessories, serta tongkat tengah dan pemegang ruang muatan. 

 

 

Secara asasnya, kedua-dua model ini hadir dengan kelengkapan standard seperti lampu utama LED (tunggal untuk BMW F 900 R dan lampu berkembar untuk BMW F 900 XR), ciri lampu membelok adaptif, dan ciri opsyen Headlight Pro. 

Sistem infotainmen Connectivity turut didatangkan dengan skrin paparan kluster instrumen berbilang fungsi bersaiz 6.5 inci, manakala ciri BMW Motorrad Multi-Controller membolehkan penunggang mengakses fungsi dengan lebih mudah.


 


BMW Group menawarkan pakej pembiayaan bulanan serendah RM770 untuk BMW F 900 R dan RM850 untuk BMW F 900 XR berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus untuk tempoh empat tahun. 

Harga jualan atas jalan tanpa insurans pula bermula dari RM62,500 untuk BMW F 900 R dan RM69,500 untuk BMW F 900 XR. 

 


Setiap pemilik bakal mendapat manfaat seperti:

  • Jaminan pengeluar selama tiga tahun
  • Bantuan Tepi Jalan tiga tahun
  • Program Servis Berkala dengan Minyak Enjin Premium
  • Program Lanjutan Waranti