BMW dengan kelebihan dua alam

oleh ONNY IZWAN|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini mungkin pilihan 3 Series terbaik yang ada sekarang. Berbeza dengan kereta lain, ini BMW dua alam. Nanti kami terangkan. 

 

Model 330e ialah sebuah kereta sedan jenis “plug-in hybrid” atau dengan kata lain, ia kereta yang boleh di cas sama seperti telefon bimbit anda. 

 

Oleh itu, huruf “e” pada nombor model ini menandakan bahawa ini adalah model BMW yang dilengkapi dengan teknologi e Drive, iaitu kereta yang berupaya dipakai dengan penggunaan dua sistem penjanaan. 

 

330eenjin

 

Ia mempunyai enjin pembakaran dalam 2.0 liter 4 silinder turbo yang di bantu oleh sistem penjanaan tenaga elektrik.

 

Sama seperti telefon anda, ia mempunyai sel bateri lithium-ion yang menjana tenaga elektrik untuk tujuan bantuan kuasa bagi mengurangkan keperluan penggunaan bahanapi.

 

Model 330e, atau nama model lengkap 330e M Sport, adalah antara barisan model bahagian eksklusif iPerformance di Malaysia, yang juga termasuk X5 xDrive 40e, 740Le xDrive dan i8. 

 

Dan mengikut tradisi BMW, ia berbeza dari jenama lain, kerana setiap BMW harus mempunyai kelebihan dan tarikan dari segi prestasi pengendalian dan kuasa enjin, walaupun ia bertujuan mengikut peredaran masa yang mengutamakan penjimatan bahanapi atau penggunaan bahanapi yang mesra alam.

 

Kemasan M Sport 

 

Model 330e ini di sertakan dengan kemasan sporty M Sport, yang menjadikan ia kelihatan lebih bergaya dari 3 Series biasa kerana terdapat tambahan bodykit yang kemas dan agresif serta beberapa lencana “M” di pasang di merata-rata bahagian badan kereta. 

 

Penampilan sporty bukan sahaja di sebabkan oleh tambahan bodykit dan rim, tetapi juga kerana ia berdiri lebih rendah dari 3 Series biasa (sebanyak 10 mm).

 

Kedudukan rendah ini memang nampak sporty dari luar tetapi ia juga sedikit sukar ketika anda masuk ke dalam ruang pemandu. 

 

Bayangkan jika anda duduk seolah-olah di atas lantai setiap kali mahu masuk ke dalam kereta. Sesiapa yang mempunyai ketinggian lebih dari 5 kaki 8 atau memiliki kaki yang panjang kemungkinan akan merungut. 

 

330e1

 

Walaupun begitu, setelah duduk pada kerusi pemandu, anda akan terus lupa tentang kesusahan untuk memasuki kereta tadi. Mujurlah kerusi pemandu terasa selesa dan lembut, kerana dibuat dari kusyen padat dan dibalut dengan kulit asli. 

 

330e2

 

Suasana ruang dalam redup dan terasa eksklusif, di bantu oleh kemasan eksklusif jenama M yang dipasang sebagai ciri standard. 

 

Model 3 Series ini juga antara sebilangan model sedan Jerman yang di sertakan dengan sunroof. 

 

Antara kemasan M yang menarik ialah roda stereng M yang serupa dengan yang boleh didapati pada model M4 (M4 berharga sekitar RM700k), yang dipasang pada model ini. 

 

Ia bukan sahaja nampak sporty dan segak tetapi pemegangnya yang dibaluti bahan yang diperbuat dari kulit terasa amat selesa untuk sesi pemanduan seharian.

 

Juga menarik ialah sistem head up display menayangkan butiran kelajuan, penunjuk arah dan siaran stesen radio pada cermin depan. Paparan informasi ringkas tetapi jelas kelihatan pada pemandu walaupun pada siang hari dengan sinaran matahari yang terik.

 

Garisan berwarna biru melingkari bahagian pintu dan papan pemuka, suatu peringatan bahawa ini ialah model istimewa dari barisan iPerformance. 

 

Yang kami dapati kurang memuaskan ialah sistem iDrive. Walaupun skrin paparan maklumatnya jelas dan kemas, tombol kawalan dan butang suisnya mengambil sedikit masa untuk dipelajari dan digunakan dengan tangan kiri tanpa perlu melihat label butang.

 

Enjin hidup tapi diam

 

Tekan butang penghidup enjin dan anda akan rasa pelik seketika. Ini kerana, tiada bunyi enjin dihidupkan kedengaran. Sebenarnya, memang enjin kereta belum dihidupkan. 

 

Tekan minyak dan kereta mula berjalan. Aneh. 

 

330ebck

 

Lihat pada penunjuk pusingan enjin dan baru kita sedar yang enjin belum lagi di hidupkan tetapi yang menjana pergerakan roda ialah tenaga elektrik. Jarum menunjukkan tahap “Ready” yang menandakan enjin dalam keadaan bersedia untuk di janakan apabila perlu.

 

Pada papan penunjuk juga di paparkan status kadar peratus tenaga elektrik yang ada. Selagi anda tidak menggunakan gear rendah (memijak penekan minyak seperti hendak memotong) sistem penjanaan akan tetap menggunakan tenaga elektrik untuk bergerak. 

 

330eblur

 

Keadaan ini memang mengambil masa untuk dipelajari cara penggunaannya (terutama sekali jika anda ingin memandu dengan menggunakan tenaga elektrik di kawasan bandaraya) namun, setelah dapat membiasakan diri (dalam satu atau dua hari memandu) kita akan mula merasa mudah untuk dikendalikan.

 

 

Penukaran dari kuasa tenaga elektrik ke enjin pembakaran dalam boleh di rasai tetapi gegaran enjin di hidupkan amat kecil. Tahap bunyi penjanaan sentiasa senyap dan tidak mengganggu keselesaan perjalanan.

 

Fungsi penjanaan tenaga boleh di ubah mengikut kehendak pemandu. Jika di perlukan, kita boleh memilih untuk menggunakan kuasa enjin sepenuhnya dan fungsi ini akan memberikan pecutan dan kelajuan yang amat tegap dan lasak kerana tenaga tork yang di hasilkan amat tinggi, iaitu sebanyak 252 PS and 420 Nm (sekitar 184 PS dan 290 Nm dari penjanaan dari enjin sahaja). 

 

but330e

 

Bateri yang dipasang ialah jenis lithium-ion 5.7 kWsj, yang dipasang dibawah permukaan but; oleh itu, ruang but sedikit sempit, yang ada tinggal 371 liter, tetapi masih memuaskan untuk mengisi keperluan perjalanan jauh.

 

Setiap 330e disertakan dengan dua kabel pengecas, kedua-duanya di sertakan didalam ruang but. Satu untuk di gunakan pada pengecas dinding dan satu lagi untuk dipakai pada soket elektrik rumah. 

 

Beza antara kedua-dua kabel ini ialah tempoh mengecas. Hanya 3 jam untuk di cas sepenuhnya pada pengecas dinding dan 5 jam jika di cas dirumah. Tetapi pada pengalaman kami, satu jam sudah mampu mengembalikan cas sebanyak 70 peratus. 

 

330eMSportcharged

 

Cara-cara kegunaan kabel pengecas akan diberitahu oleh wakil BMW, tetapi ia adalah semudah menggunakan wayar pengecas telefon pintar anda.

 

Buat masa ini, hanya beberapa kawasan parkir sahaja yang terdapat kemudahan tempat letak kereta dengan kotak pengecas khas. Jika anda tinggal di Kuala Lumpur, KLCC menawarkan beberapa ruang letak kereta khusus untuk kenderaan plug-in hybrid. 

 

Jimat bahanapi tapi tetap mempunyai personaliti BMW 

 

Selama 3 hari kami memandu dengan tangki penuh, hanya pada hari ketiga kami sedari yang masih ada nilai bahanapi yang boleh mencapai 200 km lagi. 

 

Kami juga hanya berhenti untuk mengecas bateri sekali sahaja, kerana kami mendapati dengan fungsi secara automatik, sistem pengurusan penjanaan kuasa akan turut mengecas bateri apabila ia mengesan ada sisa tenaga yang dilepaskan ketika membrek, terutama apabila anda memperlahankan kenderaan pada kelajuan tinggi. 

 

330echarge

 

Jarang sekali kami ada keperluan untuk menggunakan fungsi pengendalian Sport + (yang menghalakan penjanaan sepenuhnya pada enjin) kerana pada pemanduan seharian, kuasa yang ada amat cukup untuk tujuan pemanduan di kawasan bandar dan lebuhraya. 

 

Walaupun dengan tambahan berat sel bateri dibahagian belakang, 330e M Sport tetap berupaya menghasilkan daya tork yang kuat, yang dapat dirasai pada setiap tekanan kaki kanan anda. 

 

Anda akan ketahui bagaimana rasa 290 Nm tork apabila ia dihasilkan dari serendah 1350 hingga 4250 rpm dengan tekanan kuasa turbo. Pecutan 0-100 kmsj hanya mengambil masa 6.1 saat. 

 

Dan tahap pengendalian tidak jauh dari rasa ketangkasan pengendalian model 330i, iaitu amat cekap dan responsif.

 

Ternyata 330e M Sport ialah antara kereta hybrid yang berkuasa tinggi yang anda boleh nikmati seharian tanpa rasa risau.

 

Ia mencatatkan penggunaan bahanapi yang menakjubkan bagi kereta sedan berkuasa tinggi, iaitu 2.1 liter sahaja setiap 100 km. 

 

Kami amat tertarik dengan adanya pilihan Sport + untuk waktu-waktu yang kami perlukan kuasa yang tinggi bagi pengendalian yang menyeronokkan.

 

Pada fungsi Sport +, stereng akan terasa lebih berat dan respon penghasilan kuasa menjadi lebih cepat dan padat. Gear lapan kelajuan automatik Steptronic cekap untuk menukar gear mengikut kelajuan pusingan enjin. Tetapi anda perlu berhati-hati pada pilihan fungsi pemanduan ini kerana ia juga akan mematikan fungsi kawalan cengkaman. Namun, tidak perlu bimbang kerana respon daya tekanan brek dan cengkaman tayar cukup memuaskan pada masa diperlukan. 

 

Beli satu BMW, dapat kelebihan dua kereta

 

Jarang ada kereta seperti 330e M Sport. Selalunya kita pilih samada kereta jimat bahanapi yang biasa dari segi pengendalian dan kuasa atau kereta berprestasi tinggi yang mempunyai penggunaan bahanapi yang tinggi. 

 

330e side

 

Dengan hadirnya 330e M Sport, sekarang pembeli kereta sedan mewah boleh mendapat dan menikmati kedua-dua kelebihan teknologi masakini.

 

Pada harga RM258,800 (harga sebelum insuran, pada pandangan kami harga yang amat berpatutan) anda akan dapat sebuah BMW yang sesuai untuk penggunaan setiap hari (dengan penjimatan bahanapi yang amat memuaskan) dan juga BMW untuk waktu-waktu anda ingin menikmati pemanduan yang menyeronokan dan tangkas.

 

Kemasan M Sport yang segak dan sporty juga suatu "hadiah" dari BMW untuk menambahkan kekacakan 330e ini. 

 

Bukan itu sahaja, sebagai bonus, anda juga akan dapat keutamaan ruang tempat letak kereta yang khusus disesetengah tempat terpilih yang telah disediakan bagi kereta hybrid seperti ini.

 

Satu BMW, untuk kenikmatan dua alam.

 

 

 

SaveSave

SaveSave

Berita Berkenaan

Berita Global
Pengarah tadbir urus dan perhubungan awam syarikat, Jason Zhang memberitahu Pos, model di bawah…
Model Terbaharu
BMW iX2 xDrive30 hadir dengan pelbagai elemen rekaan yang moden lagi sporty, memberikannya iras…
Berita Domestik
Dengan rangkaian kenderaan baharu, syarikat itu menyasarkan untuk meraikan minat peminat untuk…