Terletak di tengah-tengah kawasan komersial Petaling Jaya, kemudahan baharu ini dibina untuk menawarkan perkhidmatan baik pulih dan pembaikan kenderaan yang lebih menyeluruh dan bertaraf tinggi, termasuk untuk kenderaan elektrik (EV). Ia juga mencerminkan pendekatan 360 darjah BMW terhadap pemilikan, di mana pelanggan bukan sahaja menikmati pengalaman memandu, tetapi juga dijaga sepenuhnya selepas jualan.
Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih termasuk 10 ruang kerja baik pulih, dua bilik semburan cat berteknologi tinggi, empat ruang persediaan, serta sebuah bilik campuran cat yang khusus untuk kemasan profesional. Malah, sistem penjajaran rangka Car-O-Liner turut disediakan bagi memastikan proses pembaikan mengikut spesifikasi kilang.
Menurut Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, penubuhan pusat ini menegaskan semula komitmen syarikat untuk terus memberikan Sheer Driving Pleasure kepada semua pelanggan, bukan sahaja ketika memandu, tetapi sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.
“Relax. We Care. ialah bukti pendekatan kami yang proaktif dan telus dalam menawarkan servis, keterhubungan dan sokongan teknikal yang terbaik. Ia sejajar dengan strategi fleksibel dan inovatif kami dalam menyokong pemilik BMW di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Alex Tang, Prinsipal Pengedar Quill Automobiles berkata, pusat ini merupakan pelaburan penting dalam memastikan pelanggan mendapat akses kepada servis bertaraf pengeluar tanpa perlu menunggu lama atau ke tempat lain.
“Dengan teknologi terkini dan pasukan pakar, kami mampu tangani kerja baik pulih kecil mahupun kompleks. Matlamat kami ialah memastikan setiap kenderaan yang keluar dari sini kekal dalam prestasi terbaik seperti hari pertama dimiliki,” ujarnya.
Dengan keluasan bengkel 15,625 kaki persegi dan tambahan pejabat seluas 6,397 kaki persegi, pusat ini mampu menangani pelbagai keperluan pelanggan, termasuk pemulihan cat, pembaikan akibat kemalangan, servis rim dan juga penggantian cermin hadapan. Sebanyak 11 juruteknik terlatih BMW ditempatkan di sini, semuanya dibantu peralatan dan sistem diagnostik diiktiraf pengeluar.
Selain kemudahan fizikal, pusat ini juga telah dilengkapi untuk menyokong kenderaan masa depan seperti EV dan model-model dengan struktur gentian karbon. Latihan teknikal dan infrastruktur khas disediakan bagi membolehkan kerja baik pulih melibatkan bateri voltan tinggi dijalankan dengan selamat dan cekap.
Sempena pembukaan rasmi ini, beberapa bengkel teknikal juga diadakan untuk rakan industri, dikendalikan oleh pakar BMW dalam bidang servis EV, pencampuran warna, dan teknik baik pulih lanjutan.
Pusat ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi – 5.30 petang) dan Sabtu (8.30 pagi – 1.00 tengah hari). Ia ditutup pada Ahad dan cuti umum. Lokasinya ialah di Lot 12, Jalan 51A/241, Seksyen 51a, 46100 Petaling Jaya, Selangor.