BMW Concept X7 iPerformance - petunjuk bahasa baharu reka bentuk BMW masa hadapan

oleh Mohamad Hanif|
BMW Group Malaysia mempersembahkan sebuah ikon baharu yang kini mendefinisikan semula BMW di dalam aspek mobiliti bervisi dan juga lambang kemewahan yang sinonim dengan jenama itu, iaitu BMW Concept X7 iPerformance.

Model konsep tersebut merupakan julung kali diperkenalkan bukan sahaja di Malaysia, malah pertama kali didedahkan kepada umum di rantau Asia Tenggara. 

 


Menurut Harald Hoelzl, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, BMW Concept X7 iPerformance ini merupakan kesinambungan visi kemewahan progresif yang sebelum ini dibawakan oleh pengenalan model BMW Concept 8 Series awal tahun lalu. 

Tambah beliau, nombor 7 di dalam BMW X7 sangat berkait rapat dengan konsep kemewahan model keluaran BMW seperti mana yang dipertunjukkan oleh BMW 7 Series yang menawarkan pengalaman pemanduan eksklusif sejak 40 tahun yang lalu. 

 

BMW Concept X7 iPerformance ini tidaklah bertindak sebagai model konsep semata-mata, malah ia merupakan sebuah model kajian terhadap aras kemodenan dan kemewahan di dalam segmen kenderaan mewah. 

Berikut merupakan tujuh perkara yang perlu anda tahu berkenaan model konsep terbaharu dari BMW ini

 

1. Penampilan ikon baharu di dalam keluarga BMW X


Model konsep ini, sepertimana yang disebut di atas merupakan sebuah model kajian terhadap bahasa rekaan BMW pada masa akan datang, dengan penampilan gril berkembar ikonik 'kidney' BMW yang bakal diterapkan pada model-model akan datang. 

Ciri rekaan gril hadapan menegak 'single-piece' ini menonjolkan lagi keterampilan BMW X7 sebagai sebuah Sport Active Vehicle (SAV) dan kedudukannya sebagai model teratas di dalam keluarga BMW X. 

Ini turut ditambah dengan rekaan lampu laser biru berbentuk X pada lampu utama yang berkemungkinan besar akan menjadi lambang yang ikonik pada BMW pada masa akan datang. 

 

2. iPerformance dengan BMW eDrive


Kehadiran lencana iPerformance pada BMW X7 ini bermakna SAV ini bakal dilengkapi dengan enjin petrol BMW TwinPower Turbo serta sistem plug-in hybrid yang serba dinamik.

Digandingkan dengan ciri BMW eDrive, BMW X7 ini bakal memperlihatkan pemanduan yang sangat mengujakan disamping kecekapan yang luar biasa dan tahap praktikaliti untuk kegunaan harian - termasuklah pemanduan emisi sifar. 

 

3. Rekaan arca roda bulat - pertama kali diperkenalkan di dalam keluarga BMW X


Rekaan garis badan pada BMW X7 ini menampakkan susuk tubuh perkasa sebuah SAV ditambah dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi serta reka bentuk arca roda yang berbentuk bulat. 

Menurut BMW, rekaan ini merupakan yang pertama diperkenalkan di dalam siri BMW X menonjolkan lagi nilai estetika yang ada pada kedua-dua sisi X7 ini. 

 

4. Penampakan liang udara dari hadapan ke belakang X7


Sepertimana yang anda lihat, terdapat garisan strip krom yang ketara pada kedua-dua sisi kanan dan kiri X7 ini dan turut memperlihatkan bukaan ruang udara di fender hadapan. 

Garisan krom 'Air Breathers' tersebut kemudian disambung ke belakang kenderaan sebelum diakhiri dengan sebuah lagi bukaan ruang udara yang menegak pada bahagian bumper belakang. 
 

5. Mampu memuatkan enam orang dewasa dengan selesa


BMW X7 Concept iPerformance ini menggunakan tetapan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang terdiri daripada enam buah kerusi individu, sekaligus mampu menempatkan enam orang penumpang dengan selesa. 

Menambahkan lagi efek keluasan pada SAV BMW ini ialah penggunaan bumbung panoramik yang memberikan ruang kepala yang lebih lapang serta bukaan cermin sekeliling yang luas dan tidak melemaskan. 

 

6. Bila elemen mewah dan moden disatukan


Bahagian dalaman kabin SAV X7 ini memperlihatkan elemen dua tona pada bahagian kerusi melibatkan penggunaan kulit jenis Olive-Bronze dengan pigmentasi emas halus dikontraskan dengan kulit berwarna putih Smoke White menonjolkan suasana yang kontemporari dan bertaraf tinggi. 

Manakala kemasan kabin pula menggunakan bahan jenis open-pore ash berwarna gelap dan kemasan aluminium matte menambahkan lagi seri keanggunan di bahagian dalaman sebelum diakhiri dengan rekaan yang ringkas tapi tampak moden itu. 

Bagi menambahkan lagi rasa kemewahan, efek pencahayaan laser turut diperlihatkan menerusi panel bumbung panoramik yang turut sama bertindak sebagai bantuan pencahayaan suram dan kontur. 

 

7. Menjadikan akses mobiliti semakin mudah


Sistem hiburan pada BMW X7 iPerformance ini didatangkan dengan skrin bersaiz 12.3 inci dan skrin kawalan sentuhan yang terletak berdekatan dengan bantuan pencahayaan latar belakang berwarna Silver Night. 

Ciri BMW Connected disertakan bagi membolehkan pengguna berkongsi maklumat atau akses hiburan digital kepada semua orang, termasuklah penumpang di baris kedua yang turut dilengkapi dengan dua buah skrin sentuh. 


 


BMW Concept X7 iPerformance akan dipamerkan secara eksklusif di BMW X Range Roadshow bertempat di Bangsar Shopping Centre bermula 18 Julai 2018 sehingga 22 Julai 2018. 

Saksikan sorotan gambar yang diambil semasa majlis pengenalan model BMW Concept X7 iPerformance ini. 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pusat pameran yang serba baharu itu dibina atas tapak berkeluasan 33,000 kaki persegi, dan mampu…
Model Terbaharu
Tanpa membuang masa, anda perlu tahu tujuh perkara berkenaan sedan dan SUV bertaraf mercu daripada…
Berita Domestik
Untuk para pembeli sasaran di dalam segmen premium, BMW Malaysia kini membuka tempahan untuk model…