BMW AS terbocor senarai model 2027 – M2 xDrive, iX4 dan iX5 antara yang menarik perhatian

oleh Danial Yasin Suhaimi|
BMW secara tidak sengaja mendedahkan barisan penuh model tahun 2027 untuk pasaran Amerika Syarikat selepas senarai tersebut muncul di laman web.

Kebocoran itu memberi gambaran jelas tentang perancangan besar BMW dalam tempoh dua tahun akan datang, khususnya dalam memperluaskan bahasa rekaan baharu Neue Klasse yang bakal diterajui oleh iX3 generasi baharu.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah kemunculan BMW M2 versi xDrive, selama ini, M2 merupakan satu-satunya model M penuh yang masih kekal dengan pacuan roda belakang sepenuhnya. 

Namun bermula 2027, varian M2 xDrive disenaraikan, sekali gus mengesahkan khabar angin sebelum ini bahawa model kompak tersebut akan menerima sistem pacuan semua roda.

Secara logiknya, M2 xDrive dijangka ditawarkan dengan transmisi automatik sahaja, manakala M2 standard pacuan belakang dengan kotak gear manual dijangka terus dikekalkan. 

Dalam keluarga 3 Series, BMW turut menyenaraikan varian baharu M350 xDrive, dipercayai sebagai pengganti kepada M340i xDrive sedia ada untuk generasi seterusnya. 

Dua model elektrik turut tersenarai, iaitu i3 40 xDrive dan i3 50 xDrive, BMW sebelum ini turut mengesahkan sedan i3 elektrik akan memasuki pasaran AS pada 2027. 

Model tersebut dijangka berkongsi asas mekanikal dengan BMW iX3 generasi baharu yang bakal dilancarkan di Amerika Utara tahun ini.

Bagi iX3 sendiri, tiga varian disenaraikan untuk 2027, iaitu 40 sDrive (RWD), 40 xDrive dan 50 xDrive.

Turut muncul dalam senarai ialah BMW iX4, pertama kali diperkenalkan dalam bentuk 40 xDrive dan 50 xDrive, di mana ia dijangka tampil sebagai crossover gaya coupe yang lebih sporty berbanding iX3.

Naik ke segmen lebih tinggi, generasi baharu BMW X5 turut disenaraikan, termasuk versi asas 40 sDrive pacuan belakang yang masih dikekalkan, versi elektrik iX5 60 xDrive juga bakal diperkenalkan.

Bagi BMW 7 Series, imej dalam laman tersebut dikaburkan kerana model facelift belum diumumkan secara rasmi, walaupun varian 760i tidak kelihatan dalam senarai, enjin V8 dijangka terus ditawarkan dalam bentuk baharu M760 dengan lencana M Performance. 

Seperti dijangka, BMW Z4 dan BMW 8 Series tidak lagi tersenarai, memandangkan kedua-duanya bakal ditamatkan pengeluaran dalam masa terdekat.

Kebocoran itu menunjukkan BMW mempunyai pelan produk yang sangat agresif menjelang 2027 dan 2028, generasi baharu X7 dijangka menyusul sebagai model 2028 bersama varian elektrik. 

Selain itu, terdapat laporan mengenai siri model "X" lebih lasak yang akan bersaing dengan Land Rover Defender dan Mercedes-Benz G-Class, berkemungkinan ditawarkan dengan enjin V8 serta versi elektrik. 

Model M elektrik pertama seperti M3 dan X3 M versi EV pula dijangka memasuki pasaran sebelum penghujung 2027.

Secara keseluruhan, kebocoran ini memberi gambaran jelas bahawa BMW sedang mempercepatkan peralihan kepada elektrifikasi tanpa meninggalkan model prestasi tradisional. 

 

Sumber: The Drive

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ketersediaan diperluaskan ke lebih 20 negara Eropah     Melalui generasi baharu sistem bantuan…
Berita Global
Ketua divisyen M, Frank van Meel, sebelum ini mengakui bahawa dari sudut kejuruteraan, transmisi…
Berita Global
Dalam satu video rasmi pembangunan EV tersebut, BMW secara ‘senyap-senyap’ menayangkan teaser bagi…