BMW 8 Series varian 840i M Sport dilancarkan - bermula dari RM968 ribu

oleh Mohamad Hanif|
BMW Malaysia telah melancarkan sebuah lagi varian baharu BMW 8 Series Gran Coupe, iaitu varian 840i M Sport untuk pasaran Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak seperti varian 850i xDrive yang hadir dengan nadi V8, varian 840i M Sport didatangkan dengan nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang menghasilkan 335 hp dan 500 Nm yang masuk antara julat 1,600-4,500 rpm putaran enjin.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan, membenarkan pecutan sepantas 5.2 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan yang dihadkan kepada 250 km/j.

Bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.9 liter/100 km.

 


Sebagai sebuah varian M Sport, 840i ini menerima kelengkapan seperti pakej M Sport yang merangkumi bumper yang lebih agresif, M Sport differential, sistem suspensi adaptif, Integral Active Steering serta sistem ekzos yang lebih sporti.

Penampilan 8 Series Gran Coupe ini diserikan dengan rim aloi ringan bersaiz 20 inci dengan balutan tayar 245/35 hadapan dan 275/30 belakang.

Antara kelengkapan standard yang didatangkan termasuklah lampu utama BMW Laserlight, bantuan suluhan tinggi, cermin kaca panoramik, serta bantuan lampu ambien.

 


Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan headliner anthracite dan upholsteri kulit Merino daripada BMW Individual, termasuklah kemasan kulit Walknappa pada papan pemuka, stereng balutan kulit M, dan beberapa kemasan premium lain.

Ciri keselesaan diteruskan dengan sistem kawalan iklim empat zon, tempat duduk berventilasi dengan fungsi memori, dan fungsi penghadang cahaya matahari berkuasa elektrik yang dikhususkan untuk penumpang belakang.

 


Sistem infotainmen pula didatangkan dengan skrin sentuh bersaiz 10.15 inci yang dipadankan dengan skrin instrumen bersaiz 12.3 inci serta paparan head-up dan diakhiri dengan sistem audio Harman Kardon 464-watt dan 16 buah pembesar suara.

Dari segi keselamatan, selain daripada ciri standard seperti Kawalan Kestabilan Dinamik yang disertakan, BMW 8 Series 840i M Sport ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif BMW Driving Assistance yang merangkumi:

  • Kawalan Pelayaran Aktif dengan fungsi Berhenti dan Mula
  • Amaran Keluar Laluan
  • Amaran Penukaran Laluan
  • Bantuan Pengekalan Laluan dengan perlindungan pelanggaran sisi aktif
  • Bantuan Penukaran Laluan
  • Amaran Pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek
  • Amaran Lintasan Trafik
  • Fungsi Brek dalam Bandar
  • Parking Assitant Plus dengan ciri kamera keliling

 


Terdapat enam warna pilihan yang ditawarkan termasuklah Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange, sementara trim kulit Merino pula boleh didapati dalam pelbagai pilihan warna termasuklah hitam, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.

Harga jualan pula bermula dari RM968,000 (Atas jalan tanpa insurans) dan lengkap dengan jaminan selama lima tahun/jarak perbatuan tanpa had, jaminan tayar dua tahun, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan program kesetiaan BMW Group Loyalty+.

Bagi mereka yang ingin menempah varian 840i M Sport, BMW kini turut menawarkan BMW Shop Online yang merupakan pusat pameran digital dengan bayaran tempahan RM5,000.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pada acara itu, pelbagai pilihan hingga 500 kenderaan premium pra-milik serta kenderaan baharu…
Berita Domestik
Tidak seperti model terdahulu yang boleh didapati dalam varian xDrive40, BMW iX 2024 kini tersedia…
Berita Domestik
BMW Group Malaysia berjaya menyerahkan lebih daripada 15,000 unit kenderaan daripada BMW, MINI dan…