BMW 6 Series Gran Turismo 2021 - semua varian dapat sistem mild-hibrid 48V

oleh Mohamad Hanif|
Walaupun sudah tidak lagi ditawarkan di Amerika Syarikat, BMW masih lagi meneruskan penjualan model GT 6 Series dan sudah tiba masanya model tersebut menerima kemaskini pertengahan kitaran untuk pasaran Eropah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Model yang dibangunkan berasaskan model 5 Series itu kini ditawarkan dengan sistem hibrid untuk kesemua varian yang dijual sebagai sebahagian daripada langkah elektrifikasi yang dibuat oleh BMW.

BMW 6 Series GT kini didatangkan dengan sistem mild-hybrid 48 voltan yang menambah kecekapan operasi menerusi penggunaan starter dan generator, menyumbang kepada peningkatan 11 kuasa kuda kepada model GT tersebut.

 


Sistem bantuan mula-berhenti yang dikawal oleh motor elektrik bukan sahaja membenarkan enjin berhenti beroperasi ketika kereta berhenti, malah ia juga mampu mengasingkan operasi daripada kotak gear ketika kereta mula berhenti pada kelajuan bawah 15 km/j.

Terdapat sehingga lima pilihan enjin yang ditawarkan, terdiri daripada dua enjin petrol dan tiga nadi diesel seperti berikut, dimana versi petrol ditawarkan dalam varian 630i dan 640i xDrive.

Varian 630i didatangkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder sebaris yang mampu menghasilkan 258 kuasa kuda dan 400 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat.

Manakala varian 640i xDrive pula datang dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa setinggi 333 hp dan 450 Nm, serta pecutan 0-100 km/j kurang 1 saat berbanding varian 630i.

 


Sementara versi diesel 620d pula menerima enjin empat silinder sebaris 2.0 liter yang menjana  190 hp dan 400 Nm, manakala dua varian teratas 630d xDrive dan 640d xDrive masing-masing menghasilkan kuasa 286 hp/650 Nm dan 340 hp/700 Nm, terima kasih kepada enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter.

Varian 640d xDrive memiliki masa pecutan 0-100 km/j paling pantas antara varian 6 series sedia ada, iaitu 5.3 saat.

Kesemua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan yang memiliki berat yang lebih ringan serta kawalan penukaran gear yang dipertingkat.

Pelanggan juga boleh mendapatkan opsyen kotak gear Steptronic Sport yang menambah karakteristik yang lebih sporti, penukaran gear yang lebih pantas, ciri paddle shifter yang ditambah pada roda stereng serta ciri launch control.

 


Dari segi rekaan luaran, perubahan yang dibawakan adalah hampir serupa dengan apa yang ditawarkan pada sedan 5 Series seperti lampu utama yang lebih tirus, lampu nyalaan siang LED berbentuk L berkembar, rekaan bumper yang diperbaharui.

Kemasan sistem perpaipan pula diakhiri dengan tip ekzos berbentuk trapezoid, dan perubahan tersebut dilengkapkan dengan pakej M Sport yang menambah kemasan lip bumper dan elemen diffuser belakang untuk aerodinamik yang lebih baik.

Dimensi masih kekal tidak berubah, di mana BMW 6 Series GT masih menawarkan ruang kargo sebesar 600 liter dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,800 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
 

 

Ruang dalaman pula dilengkapkan dengan ciri standard BMW Live Cockpit Professional terdiri daripada dua skrin paparan bersaiz 12.3 inci, di mana ia dikawal menerusi butang serba baharu di tengah konsol.

Roda stereng juga turut dilengkapi dengan butang pelbagai fungsi.

Selain daripada itu, peralatan standard yang didatangkan termasuklah tempat duduk boleh laras menggunakan tenaga elektrik, kemasan kulit, manakala temapt duduk belakang dengan sudut boleh laras pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Antara opsyen untuk 6 Series GT ini merangkumi trim dalaman baharu, lampu ambien, sistem kawalan iklim empat zon automatik, bumbung panorama kaca, sistem audio Bowers & Wilkins dan versi terkini Rear Seat Entertainment Professional.

 


Tidak ketinggalan, ciri bantuan keselamatan yang dipertingkatkan (opsyen) untuk BMW 6 Series GT seperti Kawalan Pelayaran Aktif dengan fungsi berhenti-bergerak, Informasi Had Laju, Amaran Pelanggaran Hadapan serta Intervensi Brek.

Pakej Driving Assistant pula menawarkan Amaran Keluar Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Bantuan Had Laju, Brek Kecemasan Automatik, Amaran Lintasan Trafik Belakang serta Amaran Pelanggaran Belakang.

Sementara pakej Driving Assistant Professional pula menambah Steering and Lane Control Assintant, Bantuan Pengekalan Laluan dengan perlindungan pelanggaran sisi aktif, Bantuan berhenti kecemasan, amaran lintasan trafik hadapan, Evasion Assistant, serta amaran di persimpangan.

 


Harga jualan bermula dari €62,800 (RM300,743) di pasaran Eropah dan boleh didapati bermula Julai ini.