BMW 330Li M Sport 2021 - harga rasmi bermula dari RM277k

oleh Mohamad Hanif|
BMW Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi sedan BMW 330Li M Sport yang telah dilancarkan beberapa bulan yang lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lengkap dengan pakej pemilikan premium yang merangkumi  jaminan tanpa had lima tahun, program servis berjadual percuma, BMW Roadside Assitance and Accident Hotline, serta kad manfaat BMW Group Loyalty+, harga jualan BMW 330Li M Sport ini bermula dari RM277,164.22 termasuk pengecualian cukai jualan SST, tidak termasuk insurans.

 


BMW 330Li M Sport merupakan sedan 3 Series varian LWB yang pertama dipasang di Malaysia (CKD) yang menawarkan pakej ruang dalaman yang lebih luas, selain mengekalkan ciri sporti sedan kompak eksekutif BMW.

Dari segi dimensi, secara keseluruhannya panjang 330Li ini bertambah sebanyak 110 mm kepada 4,819 mm, serta penambahan 110 mm kepada jarak antara roda kepada hampir 3 meter (2,961 mm).

 


Untuk menyeimbangkan penambahan dimensi itu, ketinggian telah bertambah sebanyak 6 mm kepada 1,441 mm, dengan garis bumbung yang direka semula supaya tampak seperti seakan sebuah coupe.

Penampilan sedan 330Li M Sport ini diserikan dengan pakej M Aerodynamics dan M Sport Packages, set rim aloi M bersaiz 18 inci jenis Double-Spoke style 848 M bicolour yang dibaluti tayar run flat, tip ekzos trapezoid, bumbung kaca panorama dan lampu selamat datang pada kedua-dua sisi.

 


BMW 330Li M Sport masih lagi mengekalkan penggunaan nadi 2.0 liter TwinPower Turbo yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm (1,550 - 4,400 rpm), sistem transmisi Steptronic Sport serta memecut sepantas 6.2 saat dari 0-100 km/j.

Kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 250 km/j sementara bacaan penggunaan bahan api pula adalah serendah 6.4 liter untuk setiap 100 km.

 


Kelengkapan di dalam ruang kabin pula merangkumi trim Aluminium Tetragon, kemasan Pearl Chrome, roda stereng kulit M, pedal M, sistem pencahayaan ambien 11 warna, sistem pendingin hawa automatik tiga zon, serta sistem audio HiFi.

Tidak dilupakan, sistem infotainmen yang terdiri daripada BMW Live Cockpit Professional 12.3 inci, diikuti oleh skrin sentuh BMW Navigation System Professional bersaiz 10.25 inci.

Aspek keselamatan sedan panjang ini disumbangkan oleh ciri seperti kawalan jelajah dengan fungsi brek, Parking Assistant, BMW Active Pedestrian Safety, serta Driving Assistant yang merangkumi ciri seperti:

  • amaran keluar laluan
  • amaran penukaran laluan
  • amaran pelanggaran hadapan
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran pelanggaran belakang

 


BMW 330Li M Sport ini juga boleh dimiliki menerusi pelan pembiayaan Balloon Financing Plan daripada BMW Group Financial Services Malaysia yang menawarkan bayaran ansuran bulanan serendah RM3,078.00 berdasarkan pinjaman sebanyak 80 peratus untuk tempoh lima tahun.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Baca: BMW 3 Series 2023 facelift dilancarkan Pelancaran model M340i xDrive dan 330Li M Sport itu…