BMW 330e M Sport - norma baharu dalam norma baharu

oleh Mohamad Hanif|
Tinggal beberapa bulan sahaja sebelum memasuki tahun 2022, kita semua terpaksa menerima hakikat bahawa dunia automotif kini sedang beralih kepada penggunaan trenkuasa berbantu elektrik, sama ada enjin hibrid mahupun motor elektrik.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Ia bukanlah satu perkara yang kurang baik, memandangkan kebanyakan negara serta pengeluar automotif sudah pun mula menunjukkan keprihatinan terhadap kebersihan alam sekitar yang sekian lama 'tidak dijaga'.

Namun, teknologi hibrid bukanlah satu perkara yang cukup mudah tersedia, ia satu teknologi yang agak mahal pada ketika ini, malah negara kita Malaysia juga hanya menawarkan kenderaan sebegini di dalam genre kenderaan mewah sahaja pada ketika ini.
 

330e


Jadi, Careta mengambil peluang untuk memandu sendiri salah sebuah kenderaan hibrid (atau lebih tepat lagi plug-in hybrid) bagi menguji keberkesanan kereta hibrid dalam keadaan semasa.

BMW 330e M Sport. Satu pujian  harus diberikan kepada BMW Malaysia kerana aktif membawakan penawaran kenderaan hibrid untuk pasaran Malaysia, malah mereka juga baru-baru ini turut membawakan versi pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan yang lebih rendah.

Sedan generasi baharu 3 Series dibawa masuk kali pertama pada tahun 2019, dan jika dibandingkan, generasi G20 ini membawakan dimensi yang jauh lebih panjang 76 mm, lebih lebar 16 mm serta jarak antara roda sepanjang 2,851 mm.
 

330e


Tidak cukup dengan itu, aspek pengendalian disumbangkan lagi dengan penambahan jarak lebar antara roda sebanyak 43 mm di depan, dan 21 mm di belakang.

Pertama kali penulis melihat sewaktu pelancarannya di ibu negara dua tahun lalu, ia merupakan salah satu sedan BMW yang senang mata memandang, rekaannya yang ringkas, namun tampil dengan elemen elegan yang tersendiri.

Manakan tidaknya, dari hadapan ia membawakan unit lampu LED dengan rekaan bertakuk, sementara bahagian belakang pula membawakan lampu tiga dimensi LED yang dilihat seakan sebuah Lexus (sebelum City baharu menyusul dan menggunakan rekaan yang hampir serupa).

Berdasarkan pemanduan selama beberapa hari, ini apa yang sempat penulis catitkan untuk perkongsian bersama:

 

1. Operasi permulaan yang....senyap.

330e


Tipikal kereta dengan enjin pembakaran dalaman, kita selalunya menikmati saat memulakan pemanduan dengan bunyi enjin dihidupkan dan melahu selama beberapa saat sebelum tuil gear diposisikan pada nombor 1 (atau D pada kereta auto).

Akan tetapi, dalam 330e M Sport ini, terasa sedikit aneh apabila saat butang pandu mula ditekan, tiada sebarang bunyi enjin atau ekzos yang kedengaran.

Ia bukanlah sebuah EV, akan tetapi BMW telah menetapkan operasi pemanduan dimulakan dengan mod pemanduan elektrik sepenuh masa selama beberapa ketika sebelum operasi enjin diberikan laluan.

Kelebihannya, sudah pasti BMW 330e M Sport ini (walaupun dengan M Sport) ia tidak menawarkan runut bunyi yang bising dan melampau, sebaliknya ia lebih mesra kawasan perjiranan tanpa mengakibatkan jiran sebelah mencarut tak tentu pasal.
 

330e


Terdapat satu cara di mana anda perlu memilih mod pemanduan yang lebih sporti untuk menjaga kapasiti bateri, dan hanya menggunakan kuasa tersebut dalam keadaan yang lebih memerlukan.

Macam satu kerja yang renyah, bukan? Tapi bagi mereka yang sudah terbiasa, tidak menjadi satu masalah pun.

Dari segi kuasa, tidak kira anda sedang memandu dalam keadaan santai atau pun sedang mengejar masa, gandingan kuasa daripada enjin dan motor elektrik serta transmisi Steptronic Sport Transmission lapan kelajuan ini memberikan kuasa yang diingini dengan lancar dan bertenaga sepanjang masa.

Respon stereng juga menepati apa yang anda jangkakan daripada sebuah BMW, ia menawarkan maklum balas yang lebih tepat dan jitu.

Tipikal sebuah kereta PHEV, ia sebenarnya jauh lebih berat disebabkan muatan bateri yang terpasang bagi menyokong sistem hibrid itu tadi, namun ia bukanlah satu masalah besar kerana sejak dari awal berat tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan.

292 hp dan 450 Nm kuasa gandingan, anda seolah-olah lupa ia sebenarnya sebuah kereta plug-in hybrid.

 

2. Bukan EV, tapi berperangai seperti sebuah EV.

EV


Disebabkan BMW 330e M Sport ini secara asasnya sebuah kenderaan plug-in hybrid, anda boleh mengecas kembali kuasa bateri yang telah terpakai ketika berada di pejabat atau pulang dari tempat kerja.

Malah dengan bateri penuh, ia mampu membenarkan pergerakan sifar emisi sejauh kira-kira 56 km tanpa menggunakan setitik petrol.

Namun, masalah utama yang dihadapi oleh penulis adalah kekurangan fasiliti pengecasan di sekitar kediaman, dan di rumah hanya terdapat plug konvensional sahaja.

Jadi anda perlu bayangkan, untuk mengecas sebuah BMW 330e M Sport ini dengan kapasiti bateri 12 kWh, masa pengecasan penuh adalah sekitar jam 3 pagi sekiranya anda mula mengecas kereta anda pada jam 5.30 petang.
 

330e


Boleh bangun buat solat tahajud sementara tunggu bateri siap dicas...

Namun menurut data daripada BMW Malaysia, dengan menggunakan i Wallbox 3.7 kW, masa pengecasan untuk mencapai kapasiti 100 peratus cuma sekitar 3 ke 4 jam sahaja.

Mujur BMW Malaysia kini menawarkan aplikasi peranti pintar yang membolehkan anda sendiri memantau status pengecasan dari katil tanpa perlu turun dan melihatnya depan mata sendiri.

 

3. Tiada lagi skrin analog, hanya paparan digital

330e


Salah satu norma baharu yang kian mendapat tempat di kalangan kenderaan moden adalah skrin paparan digital untuk kedua-dua kluster instrumen dan infotainmen.

Untuk sedan 330e ini, BMW melengkapkan skrin sebesar 12.3 inci rekaan bersegi disebalik roda stereng, dan skrin infotainmen sebesar 10.25 inci yang mana ia mampu  memaparkan segala informasi dengan baik dan terang, tidak kira waktu siang ataupun malam.

Cuma harapan penulis pada masa hadapan agar BMW mungkin dapat menawarkan opsyen paparan meter yang lebih 'bulat' dan tidak bersegi, mungkin penulis masih lagi belum boleh 'move on' daripada meter analog.

 

4. Kunci kereta? Nahh, pakai kad sahaja!

330e


Seiring dengan peredaran masa, pengeluar automotif juga mula mendatangkan perubahan terhadap kunci kereta, daripada kunci yang biasa kita putar pada leher stereng, kepada sistem butang pandu mula.

Untuk sedan PHEV ini, BMW masih lagi mengekalkan penggunaan kunci fizikal, namun untuk mereka yang malas membawa kunci yang besar gedabak itu, anda kini boleh menggunakan kunci sebesar dan senipis kad kredit untuk memulakan pemanduan.

Mudah bukan? Tapi kalau tak dijaga dengan baik, mudah juga untuk kunci ini lesap dari pandangan...


5. Sistem suspensi yang tidak sesuai untuk jalan Klang

330e


Klang boleh dikatakan satu daerah yang agak besar dan sesuai untuk penulis gunakan sebagai lapangan ujian sistem suspensi kebanyakan kereta-kereta baharu di Malaysia.

Tidak terkecuali, model sedan yang sporti ini.

Pemanduan di jalan yang normal seperti lebuh raya tidak mendatangkan sebarang masalah, ini kerana sistem suspensi adaptif yang dilengkapkan itu memastikan pemanduan yang lebih stabil terutama ketika sedang berada di belakang supercar Malaysia.

Namun, tetapan yang diberikan dirasakan terlalu keras untuk digunakan pada jalan-jalan yang tidak rata seperti contoh kawasan pembinaan LRT3 yang sedang berjalan pada ketika ini, ini kerana sistem suspensi tersebut sebenarnya direka untuk membawa beban bateri yang berat.
 

330e


Walaupun tiada kedengaran kebisingan menerjah masuk ke dalam ruang kabin, pemanduan sebenarnya dirasakan tidak begitu selesa tatkala roda mula menyentuh jalan yang berlubang, atau melalui bonggol yang tidak menepati syarat.

Jadi dengan harga bermula dari RM264,613 adakah BMW 330e M Sport ini satu pembelian yang berbaloi?

BMW 330e M Sport sesuai untuk digunakan oleh mereka yang masih lagi mempunyai perasaan kebimbangan jarak operasi (range anxiety) terhadap kenderaan elektrik sedia ada dan masih lagi ragu-ragu untuk beralih kepada EV.

Setidak-tidaknya, anda masih lagi mempunyai sandaran kepada trenkuasa konvensional memandangkan harga petrol di Malaysia juga masih lagi antara yang termurah di dunia.

 

Spesifikasi ringkas BMW 330e M Sport 2020

330e


Enjin: 2.0 liter TwinPower dengan teknologi XtraBoost
Kuasa: 292 hp, daya kilas 420 Nm
Pecutan: 0-100 km/j dalam 5.9 saat, kelajuan tertinggi 230 km/j
Bacaan penggunaan bahan api serendah 2.2 liter/100 km
Harga: RM264,613

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
BMW 330e M Sport serba baharu ini didatangkan dengan enjin BMW TwinPower Turbo 2.0 liter dengan…