Dalam satu video rasmi pembangunan EV tersebut, BMW secara ‘senyap-senyap’ menayangkan teaser bagi generasi baharu 3 Series berenjin petrol, dikenali dengan kod nama “G50”.
Walaupun hanya muncul beberapa saat, petunjuk jelas bahawa ini bukan EV adalah kehadiran empat muncung ekzos di bahagian belakang.
Menariknya, konfigurasi quad-exhaust ini bukan lagi eksklusif untuk model M penuh, kerana BMW kini turut membawanya ke varian M Performance.
Ia memberi bayangan bahawa model yang dipertontonkan berkemungkinan besar pengganti kepada M340i, yang mungkin akan dikenali sebagai M350.
Perubahan nama itu selari dengan strategi penjenamaan baharu BMW, di mana huruf “i” tidak lagi digunakan untuk model enjin pembakaran dalaman, sebaliknya dikhaskan untuk kenderaan elektrik.
Dalam masa sama, peningkatan nombor seperti “350” memberi petunjuk kepada peningkatan kuasa, dengan jangkaan enjin B58 3.0 liter turbo 6 silinder sebaris yang dinaik taraf mampu menghasilkan lebih 400 HP.
Bagi peminat prestasi, berita baiknya adalah BMW dijangka mengekalkan enjin enam silinder untuk varian tertinggi 3 Series.
Malah, model M3 generasi baharu berenjin pembakaran dalaman dengan kod “G84” juga sedang dalam pembangunan, di mana ia dijangka masih menggunakan enjin S58 twin-turbo, tetapi dengan bantuan sistem mild-hybrid.
Bagaimanapun, M3 baharu dijangka hanya akan dilancarkan sekitar tahun 2028, lebih lewat berbanding varian biasa 3 Series yang dijangka memasuki pasaran seawal hujung 2026 atau awal 2027.
Terdapat juga khabar angin bahawa BMW mungkin mengurangkan pilihan varian, termasuk hanya menawarkan sistem pacuan semua roda (xDrive) dan transmisi automatik untuk M3 akan datang.
Lebih menarik, BMW turut mempertimbangkan untuk menghasilkan versi wagon (Touring) bagi 3 Series generasi baharu dengan enjin pembakaran dalaman.
Walaupun BMW semakin fokus kepada EV, generasi baharu 3 Series membuktikan enjin petrol masih relevan, dengan prestasi yang lebih tinggi, teknologi lebih moden, dan potensi evolusi yang masih belum berakhir.