BMW 1 Series 2020 - bermulanya era pacuan roda hadapan model aras mula BMW

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selamat tinggal generasi pacuan roda belakang, selamat datang generasi baharu 1-Series dengan sistem pacuan roda hadapan. 

BMW 1-Series akhirnya telah selamat diperkenalkan dan bagi mereka yang mengikuti perkembangan, ini merupakan titik penting di mana BMW akhirnya bertukar platform daripada pacuan tradisional kepada pacuan yang lebih ringkas untuk kereta mewah aras mula itu. 

Perubahan ini sebenarnya banyak beri faedah kepada generasi terbaharu. 
 


Memandangkan tiada gandar yang memacu roda belakang, BMW 1-Series kini mampu menawarkan ruang dalaman yang lebih luas walaupun dimensi 1-Series baharu ini lebih pendek berbanding model terdahulu. 

Ruang bagasi belakang juga meningkat daripada 360 liter kepada 380 liter, atau 1,200 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya. 

Penggunaan bahan keluli yang lebih kuat, bonet dan pintu belakang daripada aluminium menjadikan 1-Series baharu ini lebih ringan 30 kg. 
 


Papan pemuka pula menunjukkan persamaan susunan dengan mana-mana produk BMW yang diperkenalkan sebelum ini, iaitu lebih berorientasikan pemandu dengan skrin BMW Live Cockpit Professional bersaiz 10.25 inci.

Skrin paparan multimedia bersaiz 8.8 inci merupakan ciri standard yang dilengkapkan manakala varian premium pula menerima skrin yang lebih besar, bersaiz 10.25 inci. 

Ciri kunci digital BMW Digital Key juga turut didatangkan sebagai ciri standard pada model aras mula BMW ini. 

 


Dari segi luaran, anda boleh nampak bagaimana elemen moden dan mewah BMW berjaya diterapkan kepada 1-Series, sehinggakan anda tidak menyangka ia sebenarnya sebuah 1-Series. 

Lampu utama hadapan didatangkan dalam unit halogen dan lampu nyalaan siang LED manakala lampu LED adaptif pula ditawarkan sebagai opsyen. 

Melihatkan kepada lampu belakang pula, ia lebih tirus dan menampilkan grafik berbentuk L seakan lampu Lexus. 
 


Terdapat lima varian yang ditawarkan untuk BMW 1-Series dimulakan dengan varian prestasi tinggi M135i xDrive yang hadir dengan nadi yang sama seperti BMW X2 M35i.

Enjin empat silinder 2.0 liter turbo itu mampu menghasilkan 302 hp/450 Nm dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan. 

Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 4.8 saat dan boleh dipercepatkan 0.1 saat lagi dengan pakej opsyen M Performance. 

Varian petrol standard 118i pula akan menerima enjin tiga silinder 1.5 liter berkuasa 138 hp dan 220 Nm, dipadankan dengan transmisi manual 6 kelajuan atau automatik 7 kelajuan.
 


Varian diesel pula adalah seperti berikut:

  • 116d - enjin tiga silider 1.5L, 114 hp/270 Nm (manual atau auto)
  • 118d - enjin empat silinder 2.0L, 147 hp/350 Nm (manual atau auto)
  • 120d xDrive - enjin empat silinder 2.0L, 188 hp/400 Nm (auto sahaja)

BMW 1-Series akan diperkenalkan kepada umum pada acara #NextGen di Munich 25-27 Jun dan disekalikan dengan pengenalan BMW 8 Series Gran Coupe. 

Harga jualan pula akan diumumkan pada acara tersebut kelak. 


Sementara itu, BMW menawarkan pakej M Performance khusus buat varian M135i xDrive menampilkan aksesori seperti rim aloi 18 inci, brek berprestasi tinggi, cakera berliang dengan angkup brek berwarna merah. 

Manakala opsyen lain yang ditawarkan termasuklah pelbagai rim bersaiz 18-19 inci, decals sisi, pelindung cermin sisi daripada gentian karbon, dan lampu selamat datang BMW M Performance dipaparkan di lantai ketika anda membuka pintu. 

Selain daripada itu, anda boleh memilih stereng M Performance dengan balutan kulit Alcantara atau gabungan Alcantara bersama-sama gentian karbon. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Generasi baharu BMW 1 Series kini sedang menantikan saat untuk diperkenalkan kepada umum secara…