Kelas Super Sporting menyaksikan pelumba berusia 17 tahun, Hayden Haikal menjadi pemandu terpantas sekaligus meraih kedudukan teratas.
Insiden yang berlaku ketika Lap 6 antara Wong dan Cheah memberikan peluang kepada Hayden untuk mendahului perlumbaan, diikuti oleh Freddie Ang (Telagamas) di tempat kedua dan Eddie Liew (Laser Motor Racing) di tempat ketiga.
Sementara dalam kelas Sporting pula, bekas pelumba Rookie Naquib Azlan, 22 tahun selesa menduduki tangga pertama dengan kelebihan masa 15 saat di depan Tom Goh (S&D Tama Motorsports), biarpun bermula dari kedudukan kelima kerana pelanggaran peraturan teknikal.
Tempat ketiga kelas tersebut turut disandang oleh seorang lagi pelumba muda berusia 19 tahun, Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsport).
Kejayaan Naquib turut diulangi oleh adiknya yang bertempur di dalam kelas Rookie, Nabil diikuti oleh Sharique Zulqarinain di tempat kedua dan Muhammad Hamdany Abdul Hamid di tempat ketiga.
Satu-satunya pelumba wanita dalam kelas tersebut, Adele Liew meraih tangga keempat.
Menurut Nabil, beliau tidak menyangka banyak perkara yang dipelajari daripada perlumbaan simulasi boleh diaplikasikan ke dalam perlumbaan dunia sebenar.
Kelas Promotional yang dianggotai oleh selebriti menyaksikan Zizan Razak mempertahankan kedudukan dari petak mula sehingga ke garis penamat dengan kelebihan masa 15 saat daripada juara bertahan Shukri Yahaya, sementara tempat ketiga disandang oleh Ahirine Ahirudin.