Selari dengan peredaran zaman dan permintaan terhadap sedan yang semakin menurun, Peugeot cuba menjelmakan semula model 408 menjadi sebuah crossover sedan fastback dengan jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi.
Model tersebut muncul buat kali pertama di peringkat global pada pertengahan tahun 2022, dan kini ia rasmi dilancarkan di pasaran Thailand bersempena dengan Bangkok International Motor Show 2023.
Ia hanya ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV), di mana Peugeot 408 2023 ini menggunakan nadi 1.6 liter turbo (180 PS/250 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 110 PS/320 Nm, dan jumlah kuasa keseluruhan sekitar 225 PS dan 360 Nm.
Pek bateri lithium-ion berkapasiti 12.4 kWh membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 63 km, dan menyokong pengecasan AC sehingga 7.4 kW dalam tempoh satu jam 55 minit sahaja.
Dibangun menggunakan platform EMP yang telah dikemaskini, Peugeot 408 membawakan ukuran sepanjang 4,690 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,787 mm - dimensi yang hampir sama dengan 'kembar'nya Citroen C5 X.

Malah, 408 juga menawarkan ruang kargo sebesar 536 liter (atau 471 liter untuk versi plug-in), dan mampu mencapai ruang sebesar 1,611 liter apabila kerusi baris kedua dilipat (1,545 liter untuk versi plug-in).
Di pasaran Thailand, Peugeot 408 PHEV ini dijual pada harga bermula dari 2,790,000 baht (RM361,306).