Tidak seperti Xpander standard, Xpander Cross facelift tampil dengan kemasan luaran yang lebih agresif.
Untuk pasaran Thailand, terdapat satu sahaja varian yang ditawarkan dengan kehadiran ciri seperti lampu utama LED berbentuk T (versi standard dapat lampu halogen), kemasan yang sama pada grafik lampu belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci.
Sementara ruang kabin pula diserikan dengan upholsteri kulit, skrin kluster LCD bersaiz lapan inci, brek parkir elektronik, skrin infohibur bersaiz sembilan inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa digital, soket kuasa dan port USB, serta roda stereng balutan kulit.
Mitsubishi Xpander Cross masih lagi mengekalkan nadi 1.5 liter MIVEC 4A91 yang mampu menghasilkan 105 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm, dengan padanan transmisi manual atau CVT yang telah menggantikan kotak gear automatik pada model terdahulu.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Mula Mendaki, serta sistem kamera keliling.
Ciri Active Yaw Control (AYC) pula menggunakan kepakaran Mitsubishi di dalam sukan perlumbaan rali di mana ia mampu mengawal daya brek antara roda kiri dan kanan bertujuan untuk menambah baik prestasi pengendalian di selekoh dan kestabilan di atas jalan yang licin.
Sistem suspensi asal juga telah ditala semula untuk lebih kestabilan dan pemanduan yang lebih selesa.
Harga jualan Xpander Cross di pasaran Thailand bermula dari 946,000 baht (RM123,100).