Bilangan kereta jauh lebih banyak berbanding jumlah rakyat Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Jumlah kenderaan di negara dilaporkan melebihi bilangan penduduk, iaitu peningkatan sekurang-kurangnya sejuta kenderaan setahun sejak 2019.

Menurut pakar keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia, Professor Dr Kulanthayan K.C. Mani sebanyak 33.3 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara tahun lalu berbanding jumlah penduduk seramai 32.6 juta.

Daripada jumlah itu, 47.3 peratus adalah kereta, motosikal (46.6 peratus), kenderaan perdagangan (4.7 peratus)dan baki adalah bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan lain-lain jenis kenderaan.

“Berikutan peningkatan jumlah kenderaan melebihi populasi penduduk, jadi tidak hairanlah kesesakan trafik semakin teruk di seluruh negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Jika aliran ini berterusan iaitu meningkat sejuta setiap tahun, kita bakal berdepan kesesakan trafik yang lebih dahsyat ,” katanya kepada New Straits Times.

Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu berkata, pengenalan pengecualian cukai perkhidmatan dan jualan kenderaan pada Jun 2020 mendorong orang ramai membeli kenderaan persendirian.

“Jangkitan Covid-19 menyebabkan ibu bapa menghantar sendiri anak ke sekolah berbanding memilih bas sekolah yang boleh memuatkan 30 pelajar kerana bimbang dijangkiti.

“Selain itu, perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), komuter dan pengangkutan awam lain yang sering tergendala sejak kebelakangan ini mengakibatkan orang ramai enggan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai tidak mempunyai pilihan selain menggunakan kenderaan sendiri sama ada untuk berulang-alik ke tempat kerja atau urusan lain.

Dr Kulanthayan berkata cadangan untuk membina lebuh raya dan melebarkan jalan juga tidak mampu menangani masalah kesesakan, sebaliknya kerajaan diminta menambah baik pengangkutan awam sedia ada.

“Mutu perkhidmatan pengangkutan awam perlu dipertingkat bagi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk memilihnya berbanding memandu kenderaan sendiri,” katanya.

Sumber: SelangorKini

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bertempat di Damansara The Curve, B2 Parking Hall itu bakal menampilkan kira-kira 600 buah…
Berita Domestik
  Kegiatan kumpulan ini bagaimanapun telah diintip sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian…
Berita Domestik
  Beliau berkata, jangkaan penghantaran tempahan tinggi itu disokong oleh tempahan tertunggak yang…