Biar papa asal bergaya! Beraya dengan kereta klon berharga RM5,000

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Kosmo
Keghairahan untuk memiliki kereta mewah buatan luar negara mendorong orang ramai mengambil jalan singkat de­ngan membeli kereta klon dari Si­ngapura walaupun sedar mengenai risiko yang bakal ditanggung.


Tidak hanya untuk kepuasan diri, keinginan untuk memandu kereta mewah itu turut didorong oleh sikap yang mahu bergaya dan menunjuk-nunjuk terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Lebih menarik, mereka hanya perlu mengeluarkan kos sekitar RM5,000 untuk menikmati ‘kemewahan’ memandu kereta klon buatan luar negara yang dibeli dari Singapura.

 

Mendedahkan perkara itu, seorang usahawan jualan langsung dikenali Sanusi, 30, berkata, dia sanggup menanggung risiko apabila membeli sebuah kereta klon jenis Nissan Teana model 2013 hanya pada harga RM5,000 dari seorang kenalan.

 

Bagaimanapun kata Sanusi, kenalannya itu bukanlah dalang kereta klon, tetapi mengenali individu lain dan bertindak selaku orang tengah.

 

“Harga cukup murah kerana model sama buatan Jepun di kedai kereta terpakai dijual sekitar RM38,000 hingga RM43,000. Bagi saya, apa salahnya beli kereta klon untuk kegunaan ha­rian. Saya cuma memandu sekitar Gerik dan Kuala Kangsar sahaja,” ujarnya.

 

Ditanya sama ada dia bimbang sekiranya berlaku kemalangan jalan raya kerana memandu kereta yang tidak dilindungi insurans, Sanusi mengakui perkara itu adalah risiko yang perlu dihadapi.

 

“Sebagai usahawan, orang sekeliling akan kagum dengan jenis kereta yang kita pandu.


“Jika bosan kita boleh tukar kereta lain, bahaya atau tidak itu belakang kira asalkan puas hati dapat miliki kereta idaman,” ujarnya.

 

gambar hiasan

 

Dalam pada itu, sindiket menjual kereta klon terutamanya kereta skrap dari Singapura dikesan mula aktif melakukan promosi secara terang-terangan di media sosial.

 

Tinjauan Kosmo! di beberapa laman sosial Facebook menunjukkan, iklan menjual kereta skrap dari Singapura dengan harga menarik adalah sekitar RM3,000 sehingga RM80,000.

 

Antara kereta yang ditawarkan adalah Honda Civic yang menjadi kegilaan orang muda, BMW, Volkswagen, Lexus dan Toyota.

 

Ketua Jabatan Siasatan Pe­nguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, kewujudan sindiket menjual kereta klon dan skrap dari Singapura telah berlaku sejak sekian lama.

 

“Sekarang pintu sempadan sudah buka, mereka (sindiket) dikesan mengaktifkan balik kegiatan menjual kereta klon atau skrap dari Singapura.

 

“Malah, sindiket ini juga semakin berani apabila mengiklankan bisnes haram mereka menerusi laman sosial secara terbuka,” katanya.

 

Istilah kereta klon merujuk kepada dua buah kenderaan model yang sama, menggunakan nombor pendaftaran yang sama, namun hanya satu kereta sahaja yang sah didaf­tarkan di dalam rekod kenderaan oleh Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ).

 

Kereta yang sah memiliki nombor chasis dan nombor enjin yang didaftarkan, manakala satu lagi kenderaan disalin atau klon daripada kenderaan sebenar.

 

Kumaran berkata, pada kebiasaannya, sindiket menjual kereta klon membeli atau menggunakan kenderaan skrap dari Singapura.

 

Jelasnya, bagi kenderaan skrap Singapura, sebelum tamat tarikh Certificate Of Entitlement (COE) atau dalam bahasa mudah permit tamat tempoh, kende­raan tersebut akan dibawa masuk ke Malaysia untuk ditransitkan.

 

“Pihak tertentu akan membuat urusan seterusnya terma­suk klonkan kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran yang sama mengikut jenama, model dan warna kenderaan yang telah wujud di Malaysia,” katanya.

 

Permit COE kenderaan Si­ngapura hanya berkuat kuasa selama tempoh 10 tahun dan selepas tamat tempoh kenderaan terbabit perlu dilupuskan.

 

Antara model yang sering di­klonkan ialah Honda Civic yang menjadi kegilaan orang muda, BMW, Volkswagen, Lexus, To­yota malah terdapat juga kereta kelua­ran tempatan.

 

 

 

 

Kosmo

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Operasi Khas hari ini memfokuskan aktiviti penangkapan sindiket yang membawa masuk kenderaan…
Berita Domestik
  Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemilik berdaftar kenderaan di Miri, Sarawak, penguat…
Berita Domestik
  Dalam satu sidang media, Azmi berkata, nilai rampasan menjangkau sekitar RM3 juta.   "Satu kes…