Betul ke Torsion Beam Tak Bagus?

oleh Penyumbang Rencana 2|
Betul ke Torsion Beam Tak Bagus?

Sistem gantungan jenis torsion beam sering diperlekeh oleh kaki-kaki kereta sebagai sistem gantungan yang tidak sesuai untuk digunakan oleh kereta-kereta berprestasi tinggi.


Mungkin ada betulnya juga sebab kereta-kereta sports yang mahal seperti Ferrari, Lamborghini dan Nissan GT-R menggunakan sistem gantungan jenis bebas sepenuhnya (fully independent). Tapi, kalau torsion beam ini tidak bagus, kenapa banyak pengeluar kereta menggunakannya? 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bak kata Charles Darwin, setiap kehidupan di dunia ni telah mengalami evolusi untuk memastikan kesinambungan spesisnya dan bagi saya, samalah juga dengan teknologi kenderaan.

Sistem gantungan torsion beam mula direka untuk kenderaan tempur pada Perang Dunia Kedua tetapi mula digunakan secara meluas pada era 70an apabila pengeluar kereta mula menghasilkan kereta pacuan roda hadapan bagi menggantikan kereta-kereta pacuan roda belakang yang mendominasi cara kereta dipacu sejak zaman Ford Model T.

Sistem gantungan torsion beam secara amnya hanya digunakan untuk sistem gantungan di bahagian belakang sahaja dan ianya menjadi pilihan untuk kereta hatchback terawal buatan Eropah seperti Volkswagen Polo, Golf dan Audi 50.

Jadi apakah sistem gantungan jenis torsion beam? Torsion beam secara asanya merujuk kepada galang besi yang bersambung kepada sepasang trailing arm dan mempunyai sepasang bush yang akan dipasang pada cesi kenderaan.

Mudah bukan?

Rekabentuk mudah torsion beam ini membenarkan ruang dalaman kereta di bahagian belakang lebih luas memandangkan susun aturnya yang lebih leper dan kompak, dan ini ialah sesuatu yang cukup berguna untuk kereta-kereta hatchback yang perlu memaksimakan ruang penumpang dan kargo pada cesi yang kecil. Jadi tidak hairanlah mengapa pengguna utama sistem ini pada satu masa dahulu ialah kereta-kereta hatchback kecil.

Atas kelebihan itu, kereta-kereta sedan keluarga dan MPV turut menggunakan sistem gantungan jenis ini.

Kalau korang ingat torsion beam ni hanya bagus untuk kereta-kereta penumpang dan MPV saja, memang korang silap. Torsion beam juga ialah sistem gantungan pilihan untuk model-model berprestasi tinggi seperti Honda Civic FK2 Type-R, Suzuki Swift Sport, Renault Clio II RS dan Peugeot 308 II GTi.

Ya, kereta-kereta yang dianggap sebagai hot hatch ini juga menggunakan sistem torsion beam. Ini membuktikan sistem torsion beam ini, walaupun tidak sebaik sistem gantungan jenis MacPherson, sistem multi-link atau double wishbone, masih mampu digunakan untuk aplikasi kereta berprestasi tinggi.

Percaya atau tidak, kereta kedua yang mencatatkan masa terpantas pada Ujian Moose (Moose Test) ialah Peugeot 308 II GTi yang menggunakan sistem gantungan jenis torsion beam. Ia hanya kalah kepada Citroen Xantia yang menggunakan sistem gantungan hydropneumatic yang jauh lebih canggih. Jadi, korang masih meragui kemampuan sistem gantungan jenis torsion beam?

Walaupun secara hakikat sistem torsion beam juga mampu ditala untuk pengendalian yang baik, sebab utama pengeluar kereta menggemarinya ialah kos.

Sebab faktor kos jugalah Citroen tidak lagi menggunakan hydropneumatic sejak tahun 2018, walaupun ia ialah sistem gantungan antara yang terbaik di dunia.

Kos untuk menghasilkan sistem ini jauh lebih murah daripada sistem gantungan jenis bebas sepenuhnya. Oleh kerana rekaannya yang cukup mudah, ia lebih mudah untuk dihasilkan, lebih ringan, lebih lasak, mudah untuk dipasang dan mudah untuk diselenggara memandangkan ia memerlukan kurang komponen yang perlu diganti jika rosak.  

Kesemua ciri-ciri tersebut amatlah digemari bagi pengeluar kereta yang ingin menghasilkan kereta pada kos yang rendah tetapi masih mampu memberi daya pengendalian yang baik.

Akhir kata ya, sistem torsion beam ini mungkin kurang selesa (NVH lebih tinggi berbanding sistem gantungan bebas sepenuhnya) dan tidak mampu ditala dengan lebih terperinci, terutama dari segi camber dan toe, tetapi ia ialah sistem gantungan yang sempurna untuk zaman di mana pengguna lebih mementingkan harga kenderaan dan ruang dalaman yang luas berbanding prestasi mengambil selekoh seperti kereta Formula 1.

Kini, boleh dikatakan majoriti kereta keluarga dan MPV menggunakan sistem torsion beam dan ia dijangka akan terus digunakan untuk kereta-kereta baru di masa hadapan. Kalau tak bagus, tak bolehlah Myvi menjadi Raja Lebuhraya di Malaysia, pakai torsion beam juga kereta ni...

king of the road

Penulis: Ezmil

Berita Berkenaan

Informasi
Ia juga berfungsi untuk membolehkan pemandu mengawal pergerakan kereta melalui sistem stereng, dan…