CPD ialah teknologi keselamatan kenderaan yang direka untuk mengesan kehadiran kanak-kanak atau penumpang lain yang tertinggal secara tidak sengaja di dalam kenderaan selepas pemandu keluar.
Teknologi itu membantu mencegah kematian akibat strok haba dan kecederaan disebabkan penumpang terperangkap dalam kenderaan yang panas.
Dalam kenyataan hari ini, Betamek berkata projek berkenaan telah mencapai Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6 dan memenuhi keperluan penilaian di bawah protokol Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) 2026-2030 untuk penilaian teknologi CPD.
"Pencapaian ini merupakan satu kejayaan besar kepada projek yang diiktiraf sebagai teknologi CPD pertama yang dikaji, direka bentuk dan dibangunkan oleh sebuah syarikat Malaysia di Malaysia.
"Kerjasama ini menggabungkan kepakaran elektronik automotif Betamek dengan keupayaan penyelidikan dan inovasi UTP untuk membangunkan penyelesaian keselamatan dalam kenderaan yang canggih, bertujuan meningkatkan keselamatan kanak-kanak dan mengurangkan risiko kanak-kanak ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaan," katanya.
Menurut Betamek, projek itu turut menyediakan platform untuk BRSB mengembangkan inovasi teknologi sensor radar yang lebih meluas bagi menyokong pembangunan pengesanan pintar dan aplikasi keselamatan automotif termaju pada masa depan.
Tambah syarikat itu, BRSB akan terus mengusahakan pengkomersialan teknologi CPD untuk digunakan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) di Malaysia.
"Inisiatif ini dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam inovasi automotif dan menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab serantau bagi teknologi automotif termaju," katanya.