Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bermaz Auto berkata, Kia Corp iaitu pemilik jenama dan pengeluar utama kenderaan Kia, telah memutuskan untuk menyusun semula rangkaian pengedarannya di negara ini.
Menurut Bermaz Auto, anak syarikat pegangan 65 peratus miliknya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM) sebelum ini telah memeterai perjanjian pengedaran, penyelenggaraan, jaminan dan perjanjian sampingan lain dengan Kia.
Selain itu, unitnya itu memiliki sebanyak 66.67 peratus pegangan dalam Kia Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, perjanjian itu merangkumi pengedaran, perkhidmatan selepas jualan dan pembekalan alat ganti bagi kenderaan Kia di Malaysia, dan pada asalnya ia dijadualkan tamat antara 2026 dan 2027, iaitu bergantung pada tarikh pelaksanaan masing-masing.
"Memandangkan terdapat perubahan pada strategi perniagaan oleh Kia, seperti yang dinyatakan di atas, kedua-dua pihak terbabit telah memeterai memorandum perjanjian pada 28 November 2025, untuk menamatkan perjanjian ini secara bersama berkuat kuasa serta-merta," kata syarikat itu.
Syarikat itu menambah, DJM akan terus bekerjasama dengan Kia, berdasarkan tarikh akhir yang dipersetujui bersama, bagi memastikan peralihan yang lancar dan meminimumkan sebarang gangguan untuk penyelenggaraan kenderaan, bekalan alat ganti, tuntutan jaminan dan sokongan selepas jualan bagi pelanggan Kia di Malaysia.
Bermaz Auto juga berkata, penamatan peranannya sebagai pengedar Kia dijangka tidak akan memberi kesan kewangan dan operasi kepada kumpulan Bermaz bagi tahun kewangan semasa.