Berlumba motosikal di SKVE, dua maut, dua parah

oleh Penyumbang Rencana|
foto tular di media sosial
Dua penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menuju Pulau Carey, malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku dari arah Laguna Park, Pulau Indah di Klang menuju ke Pulau Carey iaitu sebelum tol Pulau Indah.

“Kesemua motosikal yang terbabit datang dari arah Laguna Park, Pulau Indah dan dipercayai ditunggang secara laju serta bersaing antara satu sama lain.

“Dua daripada motosikal itu bergesel sesama sendiri dan terjatuh di jalan raya sebelum dirempuh dua lagi motosikal dari belakang,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ramli berkata, penunggang motosikal berusia 15 dan 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi berumur 24 dan 15 tahun dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan keadaan mangsa yang maut dalam keadaan mengerikan dengan keadaan motosikal yang sebahagiannya berselerak di jalan raya.

- salam takziah kepada keluarga mangsa -

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Petugas stesen, Enrico Guda, 31, berkata jumlah kenderaan yang dilayani setiap hari meningkat dua…
Berita Domestik
"Salah sebuah motosikal telah terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal…
Berita Domestik
Dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu, kelihatan kumpulan penunggang motosikal yang gah…