Berjaya tuntut pampasan RM85,000 insurans kenderaan mendiang suami

oleh SALINA JALIL|
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan seorang wanita yang menuntut pampasan daripada sebuah syarikat insurans atas kehilangan kereta mendiang suaminya.


Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Daryll Goon Siew Chye sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret pada 30 Julai 2020.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Panel terbabit turut membenarkan kesemua tuntutan yang telah diplidkan oleh perayu, Loh Swee Liang termasuk jumlah pampasan yang dipersetujui (agreed value) sebanyak RM85,000 dan turut mengarahkan syarikat insurans, AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral) untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

 

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Swee Liang yang merupakan pentadbir harta mendiang suaminya, Tay Guan Song diwakili peguam, James Ee manakala AmGeneral diwakili peguam, Datuk S.S. Gill.

 

Turut merayu ialah bapa Guan Song iaitu Tay Boon Hui yang juga pentadbir harta anaknya itu.

 

Terdahulu, ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan berdasarkan imbangan kebarangkalian, kereta milik suami Swee Liang telah dicuri.

 

“Pihak responden (AmGeneral) tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menunjukkan sebaliknya. Oleh itu kami dapati, syarat polisi (insurans) telah dipenuhi dan responden bertanggungjawab untuk membayar jumlah pampasan yang dipersetujui.

 

“Kami dapati, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengesahkan keputusan Mahkamah Majistret yang telah menolak tuntutan perayu. Kami membenarkan tuntutan perayu sebagaimana yang dimohon dalam penyataan tuntutan,”katanya.

 

Menurut keputusan mahkamah terdahulu, Swee Liang dan bapa mertuanya tidak layak untuk menuntut pampasan insurans bagi kereta Guan Song kerana tuntutannya tidak memenuhi syarat polisi apabila wanita terbabit gagal menunjukkan bukti bahawa kereta itu telah dicuri.

 

Wanita itu membuat laporan kehilangan kereta berkenaan beberapa hari selepas menemukan suaminya mati di rumah sewa milik mereka pada 2018.

 

Menurut penyata tuntutan, Swee Liang dan Boon Hui menuntut pampasan sebanyak RM85,000 dengan faedah sebanyak lima peratus setahun atas jumlah tersebut bermula dari tarikh laporan polis pertama dibuat pada 3 Julai 2018.

 

Mereka juga menuntut faedah sebanyak lima peratus atas jumlah yang sama setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

 

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

 

 

 

– UTUSAN

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis…
Berita Domestik
Tertuduh, Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25 membuat pengakuan bersalah…
Berita Global
Peguam utama Michael Donelly berkata, penyelesaian A$271.8 juta (AS$178.3 juta) adalah '…