Berang kereta dipotong, lelaki himpit dan pukul pemandu Kancil

oleh SALINA JALIL|
Berang kereta yang dipandunya dipotong, seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan melanggar dan menghimpit kenderaan Perodua Kancil sehingga terbabas ke dalam parit di Parit Mas semalam.


Malah, suspek berusia 45 tahun dikatakan turut memukul mangsa yang juga pemandu Perodua Kancil berusia 35 tahun, menggunakan besi dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, di sini, jam 4.46 petang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Harrier itu, disyaki marah kepada mangsa yang memotong kenderaannya.

 

“Mangsa mengakui memotong kenderaan terbabit disebabkan suspek memandu sangat perlahan serta dalam keadaan ke kiri dan ke kanan.

 

“Sebaik sahaja mangsa memotong, suspek terus mengekori dan menghimpit sehingga kenderaan mangsa terbabas. Suspek kemudian meluru dan memukul mangsa menggunakan besi sehingga menyebabkan kecederaan.

 

“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami luka sepanjang 3 sentimeter (cm) di kepala dan bengkak serta calar di lengan. Mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang,” katanya.

 

Terdahulu, video berdurasi 20 saat tular di Facebook hari ini, menunjukkan seorang lelaki berbaju putih yang tidak berpuas hati memukul pemandu kereta Perodua Kancil menggunakan besi dipercayai selepas berlaku kemalangan.

 

Mengulas lanjut, Mohamad Roy berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

 

“Selain itu, semakan mendapati kenderaan dinaiki suspek didaftarkan atas nama seorang pemilik wanita di Bangi. Pemilik kenderaan sudah dihubungi dan menjelaskan bahawa kenderaan ini diberikan sambung bayar kepada sebuah syarikat kereta di Kelantan.

 

“Pihak kami masih mengesan suspek dan tindakan lanjut akan diambil atas kesalahan yang dilakukannya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 dan 279 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, permohonan reman suspek dibuat di Mahkamah Majistret Sepang bermula pada Selasa hingga…
Berita Domestik
Menurut komen, kejadian tersebut berlaku di laluan Cameron Highlands turun menghala ke Tapah.…
Berita Domestik
  Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah hendak menyebabkan…