Beraksi 'Superman' di lebuhraya, 10 mat rempit ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Melakukan aksi berbahaya selain berlumba sesama sendiri antara tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang berjaya dikesan sebelum ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada Jumaat.

Kegiatan yang dikesan di dua lokasi berasingan ini hasil pemantauan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, operasi yang dijalankan dengan kekuatan seramai dua pegawai dan 15 anggota ini bermula kira-kira jam 10.30 malam sehingga 4 pagi.

"Operasi pertama dijalankan pada 12.15 pagi melibatkan tangkapan dua penunggang yang sedang melakukan aksi meniarap di atas motosikal bermula dari Kilometer 284 sehingga Kilometer 276 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS).

"Operasi kedua kemudiannya dijalankan kira-kira jam 1.45 pagi terhadap lapan penunggang motosikal yang turut melakukan aksi sama dari Kilometer 21 sehingga Kilometer 19 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, objektif operasi adalah untuk membanteras kegiatan samseng jalanan dan mengurangkan risiko kemalangan ketika Op Selamat yang sedang dijalankan ini.

"Tangkapan bagi kedua lokasi ini melibatkan seramai 10 individu berumur antara 17 hingga 23 tahun.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, sebanyak 48 saman turut dikeluarkan ke atas kedua operasi yang dijalankan selain sitaan melibatkan 10 buah motosikal.

"Siasatan mendapati kesemua suspek ditahan tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan motosikal.

"Selain itu, kesemua suspek menyatakan lokasi terbabit dijadikan laluan untuk mereka pergi ke kedai makan yang terletak di Seremban 3 dan Nilai," katanya.

Mohd Azman berkata, menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.

"Polis akan terus memburu mana-mana individu yang berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tiada kompromi kesalahan melibatkan samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna lain terjaga," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Antaranya Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, bulatan Bayan Baru, Jalan Tun Dr Awang, Padang Kota Lama…
Berita Domestik
Sebelum itu, video klip memaparkan aksi mereka meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-…
Berita Domestik
Kesemua penunggang motosikal itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 3 pagi yang dijalankan…