Kini, kesemua 18 pemilik tersebut diberikan opsyen untuk menaiktaraf sistem audio jentera mereka kepada sistem yang dinamakan "Naim for Mulliner".
Dihasilkan menerusi kerjasama antara Bentley Mulliner, Naim dan Focal, sistem audio ini merupakan sistem yang terbaik pernah dihasilkan.

Ia menampilkan 20 buah pembesar suara secara keseluruhan, terdiri daripada enam tweeter, sembilan pembesar suara julat pertengahan, dua woofer, dua transducer bass aktif, dan satu subwoofer.
Pembesar suara julat pertengahan dan tweeter itu tadi dikatakan mempunyai unit pemacu serba baharu serta kon berbentuk M yang telah dipatenkan oleh Focal.

Bukan itu sahaja, Bentley turut memperkukuhkan lagi kawasan sekitar panel pintu dan bahagian belakang kabin bagi membantu mengurangkan kesan herotan bunyi yang dihasilkan daripada sistem audio bespoke tersebut.
Hasil daripada pembangunan dan inovasi selama lebih 10,000 jam, kini sistem audio "Naim for Mulliner" itu sedia untuk dipasang pada setiap satu Batur yang dihasilkan.

Bentley telah memperlihatkan model Batur pada tahun lalu, dan pembangunan model ini telah pun selesai pada Jun 2023 terima kasih kepada dua unit kenderaan pra-produksi yang telah bergerak sejauh 30,000 km.
Setiap satu Bentley Batur membawakan nadi bentangan W12 6.0 liter turbo berkembar yang mampu menjana kuasa setinggi 740 hp dan 1,000 Nm, serta pelbagai ciri canggih yang mampu menjadikannya pembelian yang berbaloi kepada 18 orang pemilik dalam dunia ini.

Sebelum terlupa, opsyen sistem audio bespoke Naim for Mulliner itu memerlukan tambahan wang sebanyak £25,000 (RM146,956), bersamaan dengan harga sebenar sebuah Honda Civic 1.5V di Malaysia.
Sistem audio Naim for Mulliner