Bentley Flying Spur 2025, 4.0 V8 PHEV, 0 - 100 km/j 3.5 saat!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Bentley Flying Spur 2025
Bentley Flying Spur 2025
Usah dicari perbezaan rekaan pada Bentley Flying Spur 2025 kerana perubahan terbesar terletak pada rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid.

Dilancar dalam versi berprestasi Speed terlebih dahulu, enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar dan perkakasan elektrik membantu pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 3.5 saat.

Sebagai sebuah kenderaan eletrik hibrid plug-in (PHEV), Flying Spur boleh dipandu dalam mod elektrik sehingga 76 kilometer (km).

Satu yang perlu diketahui, Bentley secara rasmi memanggil Flying Spur sebagai kereta super empat pintu keluarannya yang pertama.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
Bentley Flying Spur 2025

 

Rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid menggabungkan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar berkuasa 600 ps, motor elektrik 190 ps dan pacuan semua roda.

Motor elektrik disepadukan di dalam kotak gear cekam berkembar lapan kelajuan.

Di dalam mod Sport, nadi Flying Spur menghamburkan 782 ps dan 1,000Nm dengan tujahan spontan motor elektrik membantu gelojak enjin V8.

Berbanding model sebelum ini, Speed baharu menghantar daya kilas lebih tinggi dari kelajuan enjin rendah.

 

Bentley Flying Spur 2025

 

Speed baharu juga memiliki puncak daya kilas lebih tinggi dan output kuasa lebih tinggi merentasi julat rev.

Daya kilas sistem ditingkatkan lebih 11 peratus berbanding Flying Spur Speed dengan enjin W12 yang telah dibersarakan.

Diterjemah kepada angka, daya kilas meningkat daripada 900Nm manakala kuasa sistem naik 19 peratus daripada 659 ps.

Peningkatan tersebut menjadikan Flying Spur sebagai sedan Bentley paling berkuasa pernah dihasilkan.

 

Bentley Flying Spur 2025

 

Lagi ciri-ciri rangkaian kuasa Flying Spur Speed:

  • Enjin berkuasa 600 ps, 800Nm
  • Tekanan suntikan bahan api 350 bar, dinaikkan daripada 200 bar. Pembakaran lebih bersih dan emisi lebih baik
  • Motor elektrik mencegah lengahan turbo
  • Pengecas turbo skrol berkembar
  • Tidak memerlukan sistem nyah aktif silinder kerana enjin boleh dimatikan sepenuhnya apabila menggunakan motor elektrik
  • Di dalam mod EV penuh, motor elektrik membekalkan kuasa 190 ps dan 450Nm
  • Bateri 25.9 kWj menyediakan tenaga pemanduan elektrik sehingga 76 km
  • Enjin dan motor elektrik membolehkan kereta dipandu sehingga 829 km
  • Mod elektrik penuh boleh digunakan pada kelajuan sehingga 140 km/j
  • Kuasa bateri boleh dicas penuh dalam masa 165 minit dengan pengecasan sehingga 11 kW
Bentley Flying Spur 2025

 

Dari segi pengendalian, Bentley Performance Active Chassis didatangkan sebagai ciri asas.

Berbekalkan kuasa besar, pengendalian kereta dibentuk oleh Bentley Dynamic Ride dan Belokan Semua Roda selain Pembeza Gelinciran Terhad kawalan elektronik.

Perisian Kawalan Penstabilan Elektronik baharu membantu dalam memberi cengkaman di dalam pelbagai keadaan.

Penyerap hentak dua injap baharu membolehkan redaman lantunan dan mampatan dikawal secara berasingan.

 

Bentley Flying Spur 2025

 

Tetapan itu membolehkan kereta memberi karakter yang jelas di antara mod Comfort, Bentley dan Sport.

Kawalan badan di dalam mod Sport sama seperti model sebelum ini kecuali keselesaan di dalam mod Comfort diubah dengan ketara.

Dari segi rekaan, walaupun nampak sama tidak bermakna tiada perubahan langsung. 

Sebagai contoh jeriji Speed, lampu Selamat Datang LED dan rim 22 inci baharu. Bahagian dalam pula dilengkapi kerusi dengan corak rekaan dan grafik meter baharu. 

 

Bentley Flying Spur 2025

 

Selain itu, Bentley menawarkan pilihan Wellness Seating Specification untuk kesemua kerusi dan pertama kali bagi Fyling Spur.

Untuk halwa telinga dan buat pelanggan yang tidak mahu sistem asas ada dua pilihan lain iaitu dari Bang & Olufsen dan Naim.

Di sebalik perubahan tersebut, apa yang lebih mengujakan ialah untuk merasa kuasa V8 dan motor elektrik dengan angka 782 ps dan 1,000Nm sehingga digelar kereta super empat pintu.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Bentley Flying Spur 2025