Juga kali pertama dalam sejarah Continental GT, model berhud (convertible) Continental GTC dilancar bersama coupe dan menambah pilihan secara serentak kepada pelanggan.
DNA baharu yang lebih agresif sudah pun dibentuk melalui Bacalar dan Batur.
Continental GT Speed mengikut bentuk Bentley moden dua pintu dengan kedudukan seperti haiwan ganas yang sedang berehat. Perhatikan garis badan sisi belakang yang mengembang.
Pereka Bentley membayangkannya sebagai harimau yang berehat, nampak tenang dan sedia untuk meledakkan kuasa hebat.
Bahagian depan dipengaruhi kuda belima (baka baik) manakala bonet dengan garisan melintang melambangkan enjin prestasi tinggi dan kelajuan sejati.
Rekaan lampu diilhamkan riak wajah tumpuan harimau memburu. Di sebalik penerangan yang diberi, alis mata pada lampu menghidupkan rupa depan Continental GT.
Bahagian belakang turut direka semula dengan bucu but yang dinaikkan ke atas untuk daya mendap tanpa spoiler tambahan.
Nyalaan lampu belakang juga cantik dengan corak berlian tiga dimensi. Nampak mahal untuk sebuah kereta yang mahal.
Rim 22 inci baharu walaupun bercorak sabit atau kipas seperti yang banyak ditemui hari ini diilhamkan dari harimau dengan kuku rim menggali jalan raya.
Bertentangan daripada bahagian luar yang maskulin, dalaman kereta tampil tenang. Tiga meter analog, corong penyaman dan tombol bulat mengekalkan elemen klasik.
Tiada skrin terkeluar dari papan pemuka dengan paparan 12.3 inci tersorok di sebalik Bentley Rotating Display.
Sistem audio asas mempunyai 10 pembesar suara dan 650 Watt dan jika masih belum puas pelanggan boleh memesan sistem Bang & Olufsen 1,500 W atau Naim 2,200 W.
Pengenalan generasi keempat juga merupakan ucapan selamat datang kepada rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid baharu.
Enjin 4.0 liter V8 dengan sepasang turbo skrol tunggal berkuasa 600 ps dipadan bersama motor elektrik 190 ps.
Kuasa puncak 782 ps dan pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.2 saat. Kelajuan tertinggi mencecah 335 km/j.
Model berhud GTC memerlukan 3.4 saat untuk mencapai 100 km/j dan kelajuan dihadkan kepada 285 km/j.
Daya kilas sistem meningkat 11 peratus kepada 1,000Nm berbanding Continental GT Speed terdahulu dengan enjin W12.
Kuasa puncak yang dinyatakan meningkat 19 peratus daripada 659 ps dan Continental GT baharu kini menjadi Bentley paling berkuasa dihasilkan.
Prestasi model ini mengatasi Supersports generasi kedua dan Batur.
Seperkara yang menarik ialah Continental GT Speed berjaya mencatatkan rekod kelajuan bawah air di dalam Terowong Laut Ryfylke di Norway.
Terowong laut itu terpanjang di dunia dengan jarak sejauh 14.4 kilometer (km) dan 292 di paras bawah laut.
Kelajuan tertinggi 335 km/j berjaya dicapai dalam 33 saat. Bayangkan gema bunyi V8 di dalam terowong!
Continental GT Speed menggunakan seni bina 400 volt dan sebagai sebuah kenderaan hibrid boleh dipandu dalam mod elektrik sehingga 81 km (WLTP).
Bateri 25.9 kilowatt-jam (kWj) boleh boleh dicas penuh dalam tempoh 2.75 jam dan menerima kuasa AC 11 kW. Kapasiti bateri boleh diguna sehingga 85 peratus.
Bateri ditempatkan di belakang gandar belakang untuk mendapatkan pembahagian berat sempurna atau 49:51. Motor elektrik berada di dalam perumah transmisi.
Motor elektrik membantu menghambat lengahan turbo dan enjin V8 tidak menggunakan sistem nyah silinder kerana boleh dihentikan sepenuhnya apabila motor elektrik digunakan.
Enjin baharu tidak mempunyai sistem vakum tradisional dan tekanan pancitan bahan api dinaikkan dari 200 bar kepada 350 bar untuk kebuk lebih bersih dan emisi lebih baik.
Kuasa dihantar ke jalan melalui transmisi cekam berkembar lapan kelajuan dan pembeza gelinciran terhad elektronik (eLSD) kepada keempat-empat roda.
Sistem pacuan menggunakan pemvektoran daya kilas aktif depan ke belakang melalui pembeza tengah.
Dari segi pengendalian, kedua-dua Continental GT Speed and GTC Speed menggunakan Bentley Performance Active Chassis baharu.
Sistem dan perkakasan terdiri daripada Pacuan Semua Roda Aktif, eLSD, pembelokan semua roda dan pemvektoran daya kilas.
Turut tersenarai sistem anti oleng aktif Bentley Dynamic Ride dan perisian Kawalan Penstabilan Elektronik baharu dan boleh dimatikan.
Perkakasan ampaian terdiri daripada peredam injap berkembar baharu dan pegas udara kebuk berkembar untuk gabungan prestasi, pengendalian dan keselesaan lebih baik.
Menghentikan kereta ialah set brek depan sepuluh omboh dan empat omboh di belakang. Pelanggan diberi pilihan cakera besi 420 milimeter (mm) dan 380 mm.
Jika tidak mahu, pelanggan boleh dapatkan cakera Karbon-Silikon-Karbida saiz 440 mm di depan dan 410 mm di belakang.
Kedua-dua model coupe dan berhud dipasang di Crewe, England dan penghantaran bermula suku ketiga 2024.
Penulis: Muhammad Md Tajudin