Berbanding model standard, Bentayga EWB (Extended Wheelbase) memiliki ukuran jarak antara roda 180 mm lebih panjang (3,175 mm), menjadikan dimensi panjang sebenar bertambah kepada 5,322 mm.

Ia menyumbang kepada ruang kabin, serta ruang kaki yang lebih luas dan selesa, dibantu dengan ciri tempat duduk Bentley Airline Seat (dengan larasan 22 cara), sistem kawalan iklim automatik, serta teknologi pelarasan postur badan automatik pada tempat duduk belakang.
Dalam mod Relax, tempat duduk ini boleh direbahkan sehingga 40 darjah, manakala dalam mod Business, ia boleh ditetapkan pada posisi yang lebih menegak untuk menjadikan urusan kerja semasa bergerak yang lebih selesa.
Ciri kemewahan yang diterapkan pada Bentley EWB Azure ini termasuklah sistem pencahayaan pada trim pintu Bentley Diamond Illumination, serta 24 bilion kombinasi trim yang boleh dipilih bagi menjadikan SUV ini boleh diperibadikan mengikut cita rasa pemilik.

Ciri pertama yang wujud pada Bentayga ialah Electronic All Wheel Steering yang mampu menjadikan SUV ini kekal dinamik untuk dikendalikan biarpun mempunyai jarak antara roda yang lebih panjang, radius putaran 7 peratus lebih kecil daripada Bentayga standard (11.8 meter), serta keyakinan pemanduan pada kelajuan yang tinggi.
Untuk pasaran Malaysia, Bentayga EWB Azure turut didatangkan dengan Touring Specification yang menambah ciri bantuan pemanduan termaju seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Lorong, sistem penglihatan waktu malam, serta paparan Head-Up.

Bentley Bentayga EWB Azure 2023 dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 542 hp dan 770 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 290 km/j.
Untuk pasaran Malaysia, Bentley Bentayga EWB Azure 2023 dijual pada harga bermula dari RM1,091,000 (tidak termasuk cukai, insurans dan pendaftaran).