Benelli 1200GT 2021 - 134 hp/120 Nm, mampu capai 220 km/j

oleh Mohamad Hanif|
Walaupun kebanyakan acara bertaraf antarabangsa kini dibatalkan akibat COVID-19, pemilik jenama Benelli, Qianjiang mempergunakan platform acara Chongqing Motor Show 2020 untuk memperkenalkan sebuah model terbaharu, iaitu Benelli 1200GT.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Motosikal sport-tourer itu menggunakan nadi 1,200 cc yang merupakan versi dipertingkat daripada enjin tiga silinder sebaris 1,130 cc yang digunakan pada model Tornado dan Tre-K.

Enjin baharu ini mampu menghasilkan 134 kuasa kuda dan 120 Nm daya kilas dan dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi 220 km/j.

 


Sebagai perbandingan, model pesaing BMW R 1250 RT menghasilkan 136 kuasa kuda dan 142 Nm.

Namun, menerusi model 1200GT ini, Benelli mahu menawarkan opsyen model yang lebih selesa pada harga jualan yang lebih agresif.

Ciri-ciri menarik yang didatangkan termasuklah penggunaan fork terbalik KYB, klac hidraulik, set brek daripada Brembo, butang push-start, serta rim bersaiz 17 inci.

 


Untuk keselesaan perjalanan jauh, Benelli 1200GT ini menawarkan ketinggian tempat duduk sekitar 780 mm, penghadang angin boleh laras, lampu LED, serta kapasiti tangki bahan api sebesar 22 liter.

Segala informasi kritikal 1200GT ini dipaparkan menerusi paparan TFT berwarna yang diapit dua meter analog (nampak macam rekaan 90-an pula).

Benelli 1200GT ini dijangka bakal dipasarkan menjelang awal tahun 2021, diikuti dengan spesifikasi lanjut serta harga jualan yang bakal diumumkan kelak.

 


Sumber: RideApart