Benarkan anak 15 tahun memandu, bapa disaman!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook
Polis mengeluarkan saman terhadap seorang bapa kerana membenarkan anak lelakinya yang bawah umur memandu kenderaan miliknya sehingga kemalangan di Kilometer 1 Jalan Bahau-Juasseh, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurutnya, kejadian pada jam 10.15 malam itu membabitkan remaja berusia 15 tahun memandu kereta jenis Nissan Almeera seorang diri dari arah Juasseh menghala ke Bahau.

"Setiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut telah hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.

"Ia kemudian melanggar pagar serta tiang lampu tepi jalan sebelum masuk dalam laluan Jalan Pusat Perniagaan Kiara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, tiang lampu berkenaan terjatuh mengenai dua buah kenderaan yang diletakkan di kotak parkir di pusat perniagaan itu berdekatan kawasan kemalangan berlaku.

"Berikutan itu, kereta dipandu remaja tersebut mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan kenderaannya dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Kes ini seterusnya disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak tidak memandu kenderaan tanpa mempunyai lesen memandu yang sah," katanya.

Sebelum ini, tular di sosial media Facebook berlaku kemalangan berhampiran pusat perniagaan berkenaan dengan keadaan kereta terbalik.

- mohon saman pada kadar maksima supaya menjadi pengajaran kepada semua para ibu bapa di luar sana -

 

Sinar Harian