Benarkah Proton mahu berlumba di rali dunia?

oleh HEZERI SAMSURI|

Baru-baru ini, Mellors Eliot Motorsport (MEM) mengeluarkan gambar-gambar rasmi Proton Iriz R5 yang dikatakan akan bertanding di dalam kategori WRC2 untuk tahun 2018.

Iriz R5 tersebut diklasifikasikan di dalam kumpulan jentera rali Group R5 oleh FIA – iaitu jentera rali dengan enjin 1.6L turbo dengan penyekat udara (restrictor) 32 mm dan kotak gear 5-kelajuan. Harga pula mestilah tidak boleh melebihi Euro 180,000.

Spesifikasi itu digunakan oleh FIA untuk memberikan satu tanda aras yang lebih mudah dicapai oleh semua pasukan, terutama mereka yang datang dari pasukan persendirian.

Jika tidak ada spesifikasi tersebut, maka pasukan rasmi dari pengeluar yang mempunyai bajet jutaaan RM akan pasti memenangi perlumbaan.

Namun begitu, Careta sebenarnya tidak begitu yakin dengan kenyataan MEM yang berkata Proton akan mula bertanding di dalam kejuaraan rali dunia.

Proton Iriz R5 rear

Menurut Datuk Ahmad Fuaad Kenali, CEO Proton, Proton tidak ada komen mengenai pembabitan Proton dengan syarikat tersebut.

“Ia adalah satu usaha persendirian oleh MEM dan mereka sedang mencari bakal penaja untuk siri perlumbaan mereka selama tiga tahun akan datang,” jawab Fuaad di dalam perbualaan bersama Careta.

Menurut satu lagi sumber dari agensi kerajaan, Proton sedang sibuk untuk menetapkan rakan kongsi strategik mereka dan sukan lumba motor tidak ada dalam fokus terdekat mereka.

Seorang lagi penganalisa berpendapat Proton tidak perlu menghamburkan wang ke arah sukan permotoran kerana pulangannya terbukti tidak banyak.

“Perodua tidak aktif dalam sukan lumba motor tetapi mereka ialah syarikat nombor satu negara dalam jualan kenderaan. Honda menarik diri dari Formula 1 dan jualan mereka terus meningkat. Subaru sendiri tidak seaktif dulu di dalam rali,” ujar penganalisa tersebut.

“Dunia rali semakin kurang menyerlah. Dahulu, Proton pernah memasuki perlumbaan rali dunia di merata dunia dengan menggunakan Satria Neo. Yang pasti, jualan Proton Satria tidak begitu popular pun. Neo juga tidak boleh dieksport ke negara luar kerana masalah enjin yang tidak menepati piawaian asap kebanyakan negara barat. Jadi jika jualan tidak meningkat, dan ia tidak boleh dieksport, mengapa Proton perlu menghabiskan jutaan RM di dalam aktiviti tersebut?”

Proton Satria Neo S2000

“Sukan rali hanya kuat di beberapa bahagian di Eropah dan Proton sekarang ini tidak ada rancangan untuk menjual kereta di sana pun,” sambungnya.

Seorang lagi pakar industri berkata Proton perlu memberi fokus kepada jualan kenderaan tempatan dan tidak perlu terlalu fokus kepada sukan permotoran.

“Bukan masanya kerana ada yang lebih penting – jualan tempatan akan menentukan kekukuhan syarikat,” terang pakar tersebut.

“Kita perlu berpegang pada bumi yang nyata. Memang gah bila nama kita dijulang di persada dunia tapi secara realiti, apa yang kita akan dapat kembali selain dari sorakan?” katanya lagi.

Pada pendapat Careta, adalah lebih baik ditumpukan kepada pembangunan model baharu dan teknologi terkini agar Proton boleh dengan segera mengeksport kenderaan ke negara luar.

Selepas itu, barulah Proton boleh memikirkan peluang untuk memasuki sukan rali kembali.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Setakat ini, Proton mempunyai sebanyak 104 buah cawangan 3S & 4S di seluruh negara,…
Berita Domestik
Pakej istimewa yang sah hingga 31 Disember 2019 ini menyediakan pembiayaan sehingga 100% bagi…
Berita Domestik
  Proton mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 97 peratus berbanding 4,524 unit pada bulan yang sama…