Di Kota Bharu, seorang peniaga dikenali sebagai Sharibon, 58, berkata, dia mengenakan caj 30 hingga 40 peratus daripada harga tunai untuk pelanggan yang membeli secara hutang.
Katanya, sebagai contoh, jika motosikal jenis Yamaha LC135 dijual pada harga RM8,300 secara tunai, ia boleh naik sehingga RM11,620 secara ansuran.
“Saya akan dapat untung atas angin RM2,000 untuk sebuah motosikal. Baki lebih RM1,000 pula adalah caj memproses dan kos-kos lain untuk mendaftar motosikal baharu.
“Jika motosikal jenama tempatan dan China, saya dapat untung lebih rendah jika dibeli secara ansuran. Bagaimanapun, harga jualan tetap 30 hingga 40 peratus lebih mahal berbanding pembelian secara tunai,” katanya ketika ditemui Kosmo baru-baru ini.
Menurut Sharibon, semua kedai akan menggunakan kaedah sama kerana penjual tidak mahu rugi jika pembeli gagal melunaskan ansuran sehingga mengakibatkan kenderaan ditarik.
Terdapat kes pembeli menyerahkan motosikal kepada warga asing sehingga ia gagal dikesan.
“Saya memang minta pelanggan beli secara tunai kerana ia menguntungkan kedua-dua belah pihak. Jika rasa mahal, mereka akan tertekan untuk membayar ansuran bulanan,” katanya.
Di Bentong, tinjauan di beberapa kedai motosikal mendapati peniaga tidak begitu mencadangkan pelanggan membeli secara tunai kerana tidak mendapat untung lebih.
Seorang jurujual yang enggan dikenali berkata, taktik itu sudah menjadi kebiasaan kerana perbezaan harga yang ketara.
Seorang pembeli dikenali sebagai Muslimin, 34, berkata, dia mengeluarkan wang simpanan untuk membeli Yamaha 135LC secara tunai berharga RM8,880.
“Jika ansuran harganya RM9,380 tidak termasuk faedah empat peratus yang dikenakan bank,” katanya.
Di Shah Alam, terdapat penjual hanya meletakkan tanda harga hutang pada motosikal untuk mengelirukan pengguna.
Seorang penjual dikenali sebagai Chong, 40-an, berkata, terdapat tiga kaedah pembelian di kedainya iaitu tunai, pinjaman kedai atau syarikat kredit.
“Pinjaman tidak perlu deposit, tetapi faedah dua peratus dikenakan. Saya jual Yamaha LC135 RM9,000 tunai, jika hutang jadi RM16,740. Jika mahu buat pinjaman kredit ada kenaikan RM1,000 untuk yuran pemprosesan,” katanya.
Sementara itu, pembeli motosikal Yamaha LC135 dikenali Ahmad, 33, memberitahu, kaedah jualan itu hanya mahu mengambil keuntungan secara berlebihan daripada pembeli.
“Saya kena bayar dua kali ganda daripada harga motosikal sebenar. Saya tiada simpanan jadi terpaksa beli hutang,” katanya.