Bekas pereka Nissan GT-R tampil dengan AIM EV Sport 01 - dua motor elektrik, 483 hp, 740 Nm, pacuan belakang!

oleh Mohamad Hanif|
Acara Goodwood Festival of Speed yang bakal berlangsung tidak lama lagi akan menampilkan kejutan, iaitu kemunculan pertama kereta sports elektrik buatan Jepun.

Lebih tepat lagi, AIM EV Sport 01 yang dihasilkan oleh Shiro Nakamura, bekas pereka Nissan GT-R yang kini bekerja di bawah syarikat SN Design Platform.
 

AIM


Kereta sports baharu ini sebenarnya dibangunkan untuk firma kejuruteraan Nagoya AIM, dan direka untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang sebenar, biarpun menggunakan trenkuasa elektrik.

Mengikut spesifikasi, Sport 01 dengan berat sekitar 1,425 kg ini membawakan dua motor elektrik APM200 sejukan cecair menghasilkan kuasa gandingan 483 hp dan 740 Nm yang memacu roda belakang.
 

AIM


Trenkuasa motor elektrik berkembar itu memperoleh tenaga daripada pek bateri lithium berlamina dengan kapasiti 81 kWh, membolehkan jarak gerak sejauh 300 km dicapai untuk sekali cas penuh.

Dimensi Sport 01 adalah menyamai kereta subkompak bawah 4 meter, dengan lebar 1.9 meter dan ketinggian 1.2 meter sahaja.
 

AIM


Ia menampilkan casis kerangka aluminium tiub, panel badan dan tab monocoque daripada gentian karbon, tetapan suspensi double-wishbone di hadapan dan belakang, diikuti dengan rim 20 inci yang dibaluti tayar 235/25 ZR20 depan dan 275/30 ZR20 di belakang.

Buat masa ini, AIM Sport EV 01 sedang menjalani ujian penilaian dinamik dan bakal menunjukkan 'taring' sebenar pada acara mendaki bukit Goodwood Festival of Speed pada 13-16 Julai ini.