Bekas eksekutif Tesla hasilkan bot elektrik dengan 800 HP!

oleh Danial Yasin Suhaimi|

Tahun ini, kita banyak disajikan dengan berita mengenai syarikat Tesla dan pengasasnya, Elon Musk berkenaan isu kereta, pekerja, kilang hinggalah isu pembelian aplikasi terkenal Twitter.

Lain pula berita yang dibawakan kali ini apabila seorang bekas eksekutif Tesla, John Vo telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Blue Innovations Group (BIG) dan menghasilkan kenderaan pertamanya bot elektrik R30.

BIG menghasilkan rangka R30 yang diperbuat dari aluminium ringan dan kuat untuk menempatkan pek bateri litium-besi fosfat bersaiz 221 kWj, ianya dipadankan bersama dua motor elektrik menghasilkan kuasa sehingga 800 HP.

 

rear

 

Reka bentuk bot R30 didatangkan dengan bumbung kanopi tetap, cermin hadapan dan cermin sisi, ia turut dilengkapi ruang kecil untuk memasak di bahagian belakang bersama set kerusi dan meja.

Bahagian kanopi tersebut boleh dipanjangkan bagi mengeluarkan panel solar 2.7 kWj, pada bahagian kabin, reka bentuknya diinspirasikan dari Tesla Model 3 dengan dua skrin sentuh bersaiz besar.

BIG dijangka untuk mendedahkan prototaip bot tersebut pada acara CES di Las Vegas, jika semuanya mengikut perancangan syarikat tersebut, R30 akan mula dijual bermula suku kedua 2024.

 

interior

 

Harganya pula dijangka bermula dari USD300,000 (RM1.3 juta), sememangnya harga bagi mereka yang memiliki duit tambahan untuk dihabiskan.

 

Sumber: carscoops