Seperti kereta dan motosikal kita, diri kita sendiri mempunyai aksesori.
Antara yang popular untuk dikumpul dan dibeli oleh lelaki ialah jam tangan, kasut sneakers dan juga beg.
Beg pula ada pelbagai genre - dari beg galas ke sekolah, beg selimpang warna hitam dengan gambar Eddie dari Iron Maiden dan beg bimbit atau clutch-bag besar seperti beg percuma yang diberi bila membeli kain pelikat.
Apapun, ia berkaitan dengan stail dan penggayaan yang ingin dipamerkan oleh sipemakai.
Bagi kami di Careta, beg adalah antara item penting kerana keperluan tugasan yang memerlukan kami membawea sekurang-kurangnya buku nota, telefon, powerbank, netbook atau tablet dan kamera kecil.
Itu adalah antara perkara-perkara penting yang menjadi alat kepada kami dan oleh kerana kesemuanya itu tidak begitu besar, beg selempang sederhana kecil atau Messenger Bag sudah lebih dari mencukupi.
Di sini kami tampilkan beberapa pilihan beg-beg messenger yang menarik dan juga dari pelbagai julat harga.
Anda boleh membelinya dari butik-butik jenama tersebut di Malaysia atau secara online.
Signature Collection Reporter Bag dari Hugo Boss
Jenama yang mahal sering menampilkan rekabentuk paling ringkas.
Beg selimpang ini dibuat dari 100 peratus kulit anak lembu yang lembut (calfskin) dengan kemasan tepi polyester.
Ruang utama menggunakan zip sementara poket sisi pula ditutup dengan butang bermagnet.
Ringkas, tetapi menampilkan warna dan permukaan yang mahal serta jenama Boss yang kecil dipampang di hadapan, ia adalah gaya "understatement" untuk mereka yang mahukan sesuatu yang tidak begitu menonjol.
Alpha Bravo dari Tumi
Beg messenger yang slim dan kecil dari jenama premium US ini sebenarnya sangat praktikal.
Ia mampu memuatkan tablet kecil dan sekiranya sempit, ia boleh dipanjangkan lagi dengan menarik zip di sekelilingnya.
Poket kecil boleh didapati di bahagian penutup luar dan juga dalam.
Bahan Ballistic Nylon kukuh digunakan dan warna popular biru Navy ini menyerlahkan lagi jenama Tumi.
Dan jika anda membeli secara online dari Tumi Malaysia, anda akan mendapat khidmat monogram (tulisan nama) pada beg anda secara percuma.
Miner Upset Messenger Bag dari Crumpler
Jenama orang muda ini khusus untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lebih ke arah street wear.
Dibuat dari Nylon kalis air dengan satu poket berzip di hadapan, kompartmen dalam pula menggunakan velcro agar mudah dibuka.
Ia juga direka untuk disarungkan di bahu dan sangat sesuai untuk menunggang basikal. Bagi motosikal atau skuter, disarankan mencari beg dengan tali pengikat berklip di bahagian dada agar ia tidak terpusing oleh angin.
Crumpler sebenarnya mempunyai butik di Malaysia dan ia juga dijual di kedai-kedai online.
Defender Messenger dari Fossil
Satu lagi jenama fesyen dari US, Fossil turut mempunyai barisan beg-beg lelaki yang mampu milik.
Antara yang menarik ialah Defender Messenger yang menampilkan gaya klasik serba ringkas.
Mampu memuatkan laptop sebesar 15 inci, ia menggunakan bahan Waxed Canvas untuk bahagian luar dengan kulit lembu untuk kemasannya.
Ia juga sangat sesuai untuk mereka yang memerlukan banyak kompartmen kerana Fossil ini ada satu poket berlapik untuk laptop, dua poket kecil untuk gajet, satu poket berzip, empat gelung elastik untuk kabel-kabel laptop atau pengecaj telefon, satu key-ring dan dua poket sisi.
Menarik!
Canvas Military Green Messenger Bag dari North Star Bata
Pasti anda perasan bahawa kedai Bata sekarang bukan sahaja lebih menarik, tetapi turut menjual aksesori-aksesori untuk lelaki seperti talipinggang, beg dan sebagainya pada harga yang mampu.
Kelebihan Bata ialah ia adalah jenama antarabangsa (ada yang ingatkan ia jenama tempatan!) dan kerana itu, ia mempunyai pakar-pakar designer dari serata dunia.
Contohnya beg messenger ini yang menggunakan bahan canvas dengan warna hijau ala tentera.
Ia ringkas dengan satu kompartmen dengan penutup bermagnet. Menggunakan bahan kanvas yang bukan kalis air dan kemasan ala kulit di luar.
Namun begitu, kerana ia ringkas, ia juga sangat praktikal dan paling mampu milik!