Beberapa laluan di ibu negara ditutup setahun mulai Sabtu ini, libatkan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Beberapa laluan di ibu negara akan ditutup mulai Sabtu, 5 Ogos ini hingga 4 Ogos 2024 bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Beberapa laluan di ibu negara akan ditutup mulai Sabtu (5 Ogos) ini hingga 4 Ogos tahun depan bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jalan yang akan ditutup ialah Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew.

Menurut kenyataan itu, sebagai laluan alternatif, pengguna boleh menggunakan lencongan trafik iaitu dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi atau Petaling Jaya yang akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di lorong bersebelahan.

“Bagi trafik dari Sungai Besi atau Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kampung Pandan, akan dilencongkan ke susur kiri melalui Bulatan Loke Yew.

“Disebabkan Bulatan Loke Yew akan ditutup, trafik dari Cheras menghala ke Jalan Loke Yew hanya dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala arah Cheras semula dan pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal,” menurut kenyataan itu.

DBKL dalam kenyataan sama turut memaklumkan bagi trafik dari Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja.

“Sebagai laluan alternatif, pengguna jalan raya hendaklah melalui pusingan U di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Pudu.

“Selain itu, laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan dan laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dilaksanakan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas dalam tempoh sama.

“Laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan,” menurut DBKL.

 

Sumber: Bernama

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Salam kenyataannya Khamis lepas berkata penutupan jalan itu…