Battista Edizione Nino Farina, 1,900hp, 5 unit khas sempena juara dunia pertama F1!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Battista Edizione Nino Farina
Battista Edizione Nino Farina
Dunia automotif yang sudah berusia lebih 100 tahun menyimpan pelbagai sejarah.

Tidak sekadar mempamerkan model penting di muzium, pengeluar kereta mengingatkan kembali sejarah melalui model baharu atau edisi istimewa.

Contoh terbaru ditonjolkan Automobili Pininfarina yang memberi penghormatan kepada ikon sukan permotoran dengan mengeluarkan edisi terhad, Battista Edizione Nino Farina.

Kereta hiper elektrik GT itu akan dibawa ke Goodwood Festival of Speed dan dikemudi bekas bintang Formula 1, Nick Heidfeld yang juga pemegang rekod perlumbaan dakian Goodwood.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Battista Edizione Nino Farina

 

Tidak sekadar pemandu, Nick Heidfeld adalah penasihat kepada Automobili Pininfarina dan memainkan peranan utama dalam Battista.

Sebelum itu, siapa Nino Farina? Beliau adalah juara dunia F1 pertama dan anak saudara pereka terkenal Battista ‘Pinin’ Farina.

Sebagai bapa saudara, Battista ‘Pinin’ Farina adalah individu yang bertanggungjawab dalam mencetuskan minat Nino Farina dalam sukan permotoran.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Semasa berusia 16 tahun, Nino Farina dibawa oleh Battista untuk berlumba buat kali pertama dan sebagai penumpang.

Penyertaan itu menjadi lebih serius apabila Nino Farina mula menyertai pelbagai perlumbaan dan kejohanan di Itali pada tahun 30-an.

Pada tahun 1950, Nino Farina bersaing di dalam perlumbaan Grand Prix pertama yang dianjurkan FIA atau pada hari ini dikenali sebagai Kejohanan Dunia Formula 1.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Pada tahun pertama kejohanan, Nino Farina menang perlumbaan di Britain, Switzerland dan Itali.

Perlumbaan pertama di Silverstone menyaksikan beliau mendahului dua lagi rakan pasukan dan mereka mendominasi tiga tempat teratas. 

Musim pertama berakhir di Itali dan beliau sekali lagi menjadi juara dan terpahat dalam sejarah sebagai juara F1 yang pertama.

Kereta sebegini tidak banyak dibuat dan berapa yang ditawarkan?

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Lima unit sahaja dan setiap satu dibezakan mengikut sejarah penting Nino Farina seperti berikut:

  • Tarikh dan tempat lahir (1906 di Turin)
  • Kedudukan petak pertama dan kemenangan pertama dalam F1 di Grand Prix British 1950
  • Kemenangan kedua pada 1950 di GP Switzerland
  • Kemenangan ketiga dan terakhir pada 1950 di GP Itali
  • Juara F1 1950
Battista Edizione Nino Farina

 

Bahagian luar kereta dibuat dalam warna Rosso Nino dan sebagai penghormatan kepada jentera yang Nino Farino gunakan dalam karier perlumbaan beliau.

Warna itu diriasi grafik istimewa pada bahagian bawah badan dalam warna Bianco Sestriere dan Iconica Blu dan juga pada beberapa sudut lain.

Satu lagi ciri istimewa ialah Furiosa Pack yang terdiri daripada pemisah depan gentian karbon, bilah sisi dan diffuser belakang dalam jalur warna Bianco Sestriere.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Selain itu, Carbon Accent Pack dibuat dalam Black Exposed Signature Carbon. 

Lagi ciri gelap pada bumbung Goccia dan Exterior Jewellery Pack dalam warna aluminium brush dan hitam.

Permainan warna diteruskan pada angkup brek hitam dan kunci tengah dalam aluminium dan hitam. Rim hitam aluminium tempa dalam warna Satin Gold.

Tanda nama Nino Farina dipaparkan pada lampu depan dan sisi sayap sebelah pemandu.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Bahagian dalam dibuat mengikut tema dua tona dengan kerusi pemandu dibalut kulit lestari warna hitam dan penumpang sisi dalam warna kuning air dan hitam Alcantara.

Tanda nama Nino Farina turut dipaparkan pada bahagian dalam dan plat pintu penumpang dibezakan pada setiap unit kereta.

Kereta ini digerakkan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan 1,900 kuasa kuda (hp) (1,400kW) dan tork 2,340Nm.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya memerlukan 1.86 saat dan kelajuan maksimum mencecah 350 km/j.

Jarak pemanduan pula sehingga 476 km (kombinasi, WLTP). Battista menggunakan bateri kapasiti tinggi 120 kilowatt-jam (kWj).

Ada empat motor elektrik bebas menggerakkan setiap roda dan dilengkapi sistem Full Torque Vectoring dan Kawalan Penstabilan Elektronik.

Pakej pengendalian dikawal perisian pembeza yang membolehkan pemandu melaras penghantaran kuasa dan respon pengendalian.

 

Battista Edizione Nino Farina

 

Pek bateri bentuk T sejukan cecair dipasang pada bahagian tengah di belakang kerusi untuk pusat graviti yang rendah.

Kereta dengan kuasa sebegini memerlukan daya pembrekan yang cemerlang dan keupayaan berhenti dari 100 km/j kepada 0 km/j dalam jarak 31 meter.

Ada lima mod pemanduan iaitu Calma, Pura, Energica, Furiosa dan Carattere.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Battista Edizione Nino Farina