Bas langgar penghadang, 7 cedera berpunca dari aplikasi navigasi

oleh Penyumbang Rencana|
Punca sebuah bas ekspres merempuh palang besi had ketinggian di Jalan Mutiara, dekat Putra Mahkota Bangi malam Sabtu, menyebabkan pemandu bersama enam penumpang cedera adalah disebabkan terlalu bergantung aplikasi navigasi pemanduan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof selepas siasatan awal dilakukan terhadap pemandu bas berusia 62 tahun itu.

Ketika kejadian bas membawa pemandu dan 21 penumpang termasuk tiga kanak-kanak itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan menuju Negeri Sembilan dan Melaka.

Naazron berkata, siasatan mendapati pemandu bas tidak menyedari kewujudan palang besi penghalang had ketinggian di laluan berkenaan berikutan ketika itu memandu dengan menggunakan panduan daripada aplikasi navigasi.

Kenderaan terbabit melanggar palang besi berkenaan sehingga menyebabkan bas tersekat di bawah besi penghadang had ketinggian itu.

"Kejadian menyebabkan bahagian hadapan dan atas bas pecah dan rosak, dengan pemandu serta enam penumpang cedera termasuk tiga wanita.

"Empat daripada mangsa dirawat di Hospital Serdang, manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

"Penumpang yang tidak mengalami kecederaan pulang ke destinasi masing-masing bersama ahli keluarga yang tiba di lokasi kejadian," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
JPJ Kedah dalam satu kenyataan berkata, hasil semakan mendapati pemandu lelaki tempatan itu gagal…
Berita Global
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan tersangkut di lintasan kereta api selepas…
Berita Domestik
Menurutnya, sistem tersebut diintegrasikan bersama pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis…