Bas dua tingkat elektrik dari Hyundai - mampu capai jarak sejauh 300 km

oleh Mohamad Hanif|

Dalam usaha untuk menunjukkan kesungguhan syarikat mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar, Hyundai memperkenalkan produk komersil sifar emisi pertama mereka dalam bentuk bas dua tingkat. 

Bas dua tingkat elektrik dari Hyundai ini dilengkapi dengan pek bateri polimer 384 kWh yang menggunakan sistem sejukan cecair, dan mampu bergerak sejauh 300 km untuk sekali cas penuh. 

Proses pengecasan pula boleh mencapai kapasiti penuh hanya dalam masa 72 minit sahaja. 
 


Sistem motor elektrik tunggal berkuasa 321 hp digunakan untuk menggerakkan bas dua tingkat ini. 

Untuk keselesaan pergerakan terutama di dalam bandar, Hyundai telah memasang sistem suspensi bebas dan sistem stereng roda belakang untuk pengendalian yang lebih menyenangkan. 

Bas dua tingkat elektrik ini mampu memuatkan sehingga 70 orang penumpang pada satu-satu masa, merangkumi 11 tempat duduk di tingkat bawah dan selebihnya di tingkat atas. 
 


Bagi memudahkan urusan keluar masuk orang kurang upaya, lantai bas (untuk tingkat bawah) telah direndahkan dan dibantu dengan penggunaan sistem ramp gelongsor automatik. 

Manakala ciri keselamatan terkini untuk bas pula turut dipasang merangkumi Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan dan Bantuan Pengekalan Laluan. 

Model pertama bas sifar emisi dari Hyundai ini dipamerkan pada acara Land, Infrastructure and Technology Fair bertempat di Korea. 

 

Add new comment

Careta Ad