Baru pertama kali disewa, Ferrari F8 Tributo ini alami kemalangan, rangka retak!

oleh Mohamad Hanif|
Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan sewa kereta-kereta sports Royalty Exotic Cars terpaksa berputih mata apabila mendapati Ferrari F8 Tributo yang baharu sahaja diperoleh kini berstatus write-off angkara penyewa kereta itu sendiri.

Menurut laporan daripada Motor1, supercar itu disewa oleh seorang individu yang mendakwa tidak sempat untuk mengelak batu di tengah jalan di Las Vegas Boulevard pada kelajuan 72 km/j.

Berdasarkan gambar, kerosakan yang dialami oleh Ferrari F8 Tributo yang memiliki jarak perbatuan tidak sampai 1,000 batu (1,600 km) mungkin dilihat tidak begitu teruk.

Namun berdasarkan semakan lanjut, pihak bengkel mendapati sistem suspensi hadapan Ferrari itu mengalami kerosakan teruk, sehingga mengakibatkan keretakan pada rangka aluminium bahagian tersebut.

 

 


Pihak bengkel juga mengesyaki pemandu tersebut bukan melanggar batu, akan tetapi melanggar pembahagi jalan memandangkan kerosakan yang terdapat pada kedua-dua rim sebelah pemandu.

Malah ketika pemeriksaan di tempat kejadian, mereka mendapati terdapat kesan tayar pada tembok jalan selain menemukan cebisan fender linder di atas jalan memberikan petanda kereta tersebut dipandu melebihi kelajuan yang didakwa sehinggakan hilang kawalan.

Keadaan rangka yang retak memberikan petanda Ferrari tersebut bakal dihapuskan atau berstatus write-off, malah Ferrari F8 Tributo itu juga dilihat tidak lagi tersedia untuk disewa oleh mereka yang berminat menerusi laman web Royalty Exoticc Cars.

Sebagai makluman, Royalty Exotic Cars menawarkan kadar sewa $899 (RM3,722) untuk tempoh empat jam yang membolehkan anda memandu sebuah Ferrari F8 Tributo.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, angka tersebut nampaknya tidak mencukupi bagi mereka-mereka yang duduk di bawah bumbung…
Berita Global
Akan tetapi, bagaimana mereka yang jenis tidak berpuas hati dengan apa yang ada? Novitec baru-baru…
Gaya Hidup
Apa yang pasti, kedua-duanya kini bersaiz 25 peratus lebih besar berbanding kit terdahulu.  Dua…