Dalam kenyataan pada Jumaat, bank itu berkata, inisiatif dikenali Program Prihatin itu bertujuan meringankan beban kewangan mangsa banjir dalam menunaikan komitmen pembayaran bulanan mereka.
Kemudahan moratorium itu adalah tertakluk mengikut syarat ditetapkan di bawah Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank berkenaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan pelanggan, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.
“Kami berharap program ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu amat mencabar ini,” katanya.
Menurutnya, permohonan moratorium Program Prihatin itu boleh dibuat di cawangan Bank Islam dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan di nombor 03-26900900. - Bernama