Banjir: Syarikat insurans sedia segerakan proses tuntutan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Ahli Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bersedia memberi bantuan kepada pemegang polisi terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini melalui proses tuntutan dipercepatkan dan pertimbangan khas berdasarkan kepada kes mengikut kes.


Persatuan tersebut, dalam kenyataan pada Selasa, memaklumkan pemegang polisi diminta menghubungi pengantara atau penanggung insurans untuk mendapatkan nasihat lanjut kerana skop perlindungan, terma dan syarat termasuk langkah bantuan ditawarkan oleh satu syarikat insurans mungkin berbeza dengan yang lain.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Kerugian akibat banjir, sila rujuk senarai semak untuk memastikan syarikat insurans anda boleh membantu mempercepatkan proses tuntutan," menurut kenyataan itu.

 

Senarai Semak adalah seperti berikut:

 

Langkah 1: Semak untuk memastikan polisi anda turut merangkumi perlindungan akibat bencana banjir.

Langkah 2: Maklumkan perantara atau syarikat insurans anda dengan butiran jumlah kerugian.

Langkah 3: Berikan maklumat lengkap termasuk semua dokumentasi sokongan berkaitan kepada syarikat insurans anda termasuk gambar jika ada.

Langkah 4: Bergantung pada keterukan kerugian, syarikat insurans anda boleh melantik penyelaras bebas nilai kerugian untuk membantu anda memfailkan tuntutan anda.

 

Menurut PIAM, walaupun kesedaran pengguna tentang risiko kepada nyawa dan kerosakan harta benda telah meningkat dengan peningkatan kadar pengambilan insurans banjir kenderaan motor (komprehensif) daripada lima peratus untuk tahun penuh 2021 kepada 12 peratus pada (separuh pertama 2022), namun masih terdapat banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan daya tahan kewangan terutamanya dalam kalangan B40.

 

PIAM berkata perlindungan banjir tersedia secara meluas kepada rakyat Malaysia yang berkemampuan kerana semua syarikat ahli PIAM menyediakan perlindungan banjir di bawah polisi motor dan kebakaran komprehensif dengan premium tambahan tertakluk kepada budi bicara pengunderaitan masing-masing.

 

Bertentangan dengan persepsi biasa, perlindungan banjir adalah berpatutan kerana premium motor tambahan untuk perlindungan banjir dianggarkan antara RM0.08 hingga RM1.74 sehari.

 

Bagi insurans kebakaran, premium tambahan untuk perlindungan banjir (untuk risiko di bawah RM10 juta) hanyalah 0.086 peratus daripada jumlah diinsuranskan, harga yang kecil untuk dibayar memandangkan pendedahan kepada banjir yang telah menyebabkan berjuta-juta kerugian harta benda setiap tahun.

 

"Untuk jumlah perlindungan insurans sebanyak RM200,000, ini diterjemahkan kepada premium tambahan sebanyak 47 sen sehari atau RM14 sebulan. Bagi polisi tarif pemilik rumah dan isi rumah, perlindungan banjir dimasukkan sebagai sebahagian daripada perlindungan standard," katanya.

 

PIAM juga menggalakkan pemegang polisi menyemak polisi motor dan kebakaran mereka untuk memastikan mereka dilindungi secukupnya daripada kerugian banjir dan menghubungi pengantara atau penanggung insurans mereka yang bersedia memberikan bantuan yang diperlukan.

 

PIAM ialah persatuan perdagangan kebangsaan semua syarikat langsung dan insurans semula berlesen untuk insurans am di Malaysia. Pada masa ini, PIAM mempunyai 25 syarikat ahli.

 

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sebelum ini, MyCC mendakwa PIAM dan 22 syarikat insurans am lain telah melanggar Seksyen 4 Akta…
Berita Domestik
Bagaimanapun tuntutan berkenaan hanya boleh dibuat ke atas kenderaan persendirian yang diiringi…
Berita Domestik
Dana CSR tersebut berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM2.43 juta sejak dimulakan pada Januari 2022…