Banjir - Kos baiki fasiliti, kenderaan sekolah memandu cecah RM350,000

oleh SALINA JALIL|
Seorang pemilik sebuah sekolah memandu di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hanya mampu melihat kawasan yang diusahakannya hampir 23 tahun rosak sepenuhnya akibat banjir 18 Dis lepas.


Pengerusi dan pemilik Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd E. Vennarajan berkata beliau menganggarkan kos membaiki fasiliti, peralatan elektrik dan kenderaan di sekolah memandu yang beroperasi semula sejak Sept lepas itu mencecah RM350,000.

 

“Pelbagai barangan musnah sepenuhnya termasuk peralatan pejabat, buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) untuk pelajar, lesen L dan P pelajar ada yang rosak serta bertaburan malah kami tidak dapat kumpulkan khususnya untuk diagihkan kepada pelajar pada 20 Dis.

 

“Sebanyak 50 kereta, 33 motosikal termasuk tiga motosikal berkuasa tinggi, dua lori Hino kesemuanya untuk kegunaan latihan pelajar tidak dapat dialihkan sebelum kejadian sebab kawasan luar sudah dinaiki air. Kami terkepung dan pada masa itu saya hanya merelakan apa yang terjadi,” katanya kepada Bernama.

 

Vennarajan berkata kawasan sekolah memandu itu jarang dinaiki air walaupun berlaku kejadian banjir kilat sebelum ini kerana kedudukannya lebih tinggi daripada kawasan lain di perumahan itu.

 

“Banjir kali ini, air naik mencecah 1.6 meter dan bertahan hingga tiga hari. Tiada siapa sangka sebab dalam sejarah sekolah memandu ini ditubuhkan, tidak pernah berlaku banjir sebegini. 

 

 

“Kami akan berusaha sedaya mungkin bagi membolehkan sekolah ini beroperasi semula pada 12 Jan,” katanya.

 

Ditanya sama ada sekolah memandu itu akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat, Vennarajan berkata hal itu terlintas difikirannya ekoran kerugian besar yang dialami.

 

“Saya ada terfikir mengenainya (pindah) tetapi orang ramai khususnya di Shah Alam sudah kenal tempat ini. Bila sudah berlaku banjir, saya ada perancangan untuk meninggikan kawasan pejabat urusan sekolah atau mana-mana tempat yang mungkin boleh mengurangkan kesan risiko banjir selepas ini,” katanya.

 

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor akan membantu menyelesaikan urusan buku KPP dan lesen memandu pelajar yang rosak.  

 

 

Video di bawah ini:

 

 

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan merupakan satu ketetapan dasar…
Berita Domestik
  Katanya, antara tindakan boleh diambil ialah membatalkan permit institut memandu terbabit dan…
Berita Domestik
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata sistem e-Testing ini bertujuan meningkat…