Banjir Hatyai: Lebih 1,000 kenderaan rakyat Malaysia terkandas, tenggelam di parkir bawah tanah hotel

oleh Penyumbang Rencana|
foto INFO Rakyat DALAM Kelantan
Lebih 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai, Thailand, akibat banjir besar melanda kawasan itu sejak 22 November lalu.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat, berkata dianggarkan 1,200 hingga 1,500 kenderaan berkenaan terperangkap dalam banjir, termasuk tenggelam di kawasan parkir bawah tanah milik hotel.

Beliau berkata, kerja-kerja menunda kenderaan terbabit bagaimanapun berdepan kesukaran kerana lori atau trak penunda dari Malaysia tidak dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.

"Lori Malaysia memang tidak boleh masuk ke situ. Justeru, kenderaan terbabit perlu ditarik menggunakan trak penunda Thailand hingga ke sempadan, kemudian baru tukar kepada lori kita," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beng Tat turut menjelaskan, situasi itu menyebabkan ada pemilik terpaksa menguruskan sendiri hal menunda kenderaan mereka di Thailand kerana tidak semua polisi insurans menyediakan perlindungan untuk kejadian di luar negara.

Malah, katanya, ramai pemilik terpaksa reda meninggalkan kenderaan mereka kerana mengalami kerosakan teruk atau tidak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, ramai mangsa menghubungi pihaknya untuk mengucapkan terima kasih atas bantuan diberikan pasukan sepanjang operasi menyelamat.

Beng Tat berkata, sebanyak 23 pasukan penyelamat sukarela Malaysia telah membantu operasi menyelamatkan rakyat Malaysia di Hatyai.

"Ramai mengucapkan terima kasih. Semua yang kami selamatkan kemudian memberitahu bahawa mereka sudah selamat sampai ke rumah," katanya sambil memaklumkan banjir di Hatyai lambat surut berikutan kedudukan kawasan itu rendah.

Menceritakan pengalaman sepanjang operasi itu pula, beliau berkata, terdapat insiden penyebaran mesej palsu kononnya ada pelancong Malaysia meninggal dunia.

"Kami terpaksa meninggalkan kerja lain untuk pergi mencari (mangsa dikatakan meninggal dunia) tetapi apabila sampai ke lokasi, memang tiada kes kematian. Sedih apabila orang buat cerita macam itu.

"Operasi menyelamat yang kami jalankan bukan mudah... dua bot kami terbalik akibat arus deras, kami bergadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa, namun ada yang mereka mesej palsu supaya diselamatkan dahulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua mangsa yang ditemui berada dalam keadaan baik dan bersemangat sebaik saja melihat kehadiran pasukan penyelamat dari Malaysia.

"Mereka gembira apabila nampak orang Malaysia sampai untuk membantu, dan kagum dengan usaha kita," katanya.

BuletinTV3